Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mahu seluruh warga Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh budaya integriti bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan diurus dengan penuh amanah.
Ia sekali gus mengelakkan sebarang ketirisan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Menurut beliau, MINDEF merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan perbelanjaan besar, justeru pengurusan dana awam dan aset strategik perlu dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab.
Katanya, integriti bukan sekadar soal mengelakkan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, sebaliknya turut menjadi asas penting dalam memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
“MINDEF dan ATM juga dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dana awam dan aset strategik yang melibatkan peruntukan berbilion-bilion ringgit.
“Maka, setiap peruntukan mesti dilakukan dengan betul, setiap prosedur dipatuhi, setiap maklumat dilindungi dan setiap operasi pertahanan dibuat dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan (MINDEF) 2026 yang berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Ketirisan punca rakyat hilang percaya
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled mengingatkan bahawa sebarang bentuk ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dalam institusi pertahanan bukan sahaja memberikan kesan terhadap operasi semasa, malah berpotensi melemahkan organisasi dalam jangka panjang.
Jelasnya, kegagalan memelihara integriti turut boleh mencalarkan reputasi MINDEF dan ATM sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

“Ketirisan dan penyalahgunaan kuasa bukan sahaja menjejaskan keupayaan operasi secara serta-merta.
“Dalam jangka panjang, ia melemahkan organisasi, mengurangkan keberkesanan sumber dan menjejaskan kesiagaan pertahanan.
“Lebih penting, ketirisan akan menghilangkan kepercayaan dan rasa hormat pada kita semua,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa isu integriti tidak semestinya bermula daripada kesalahan besar seperti rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.
Sebaliknya, amalan harian seperti datang lewat ke pejabat, tidak memanfaatkan waktu bekerja, culas melaksanakan tugasan dan sengaja mengabaikan tanggungjawab juga boleh menjadi punca hakisan integriti.

Bagi anggota ATM pula, beliau menekankan kepentingan mengendalikan aset secara cermat dan melaksanakan operasi dengan penuh tanggungjawab, termasuk ketika bertugas di kawasan sempadan serta perairan negara.
Pada masa sama, beliau turut memberikan perhatian terhadap cabaran integriti dalam era perkembangan teknologi digital, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan media sosial.
Walaupun kemajuan teknologi mampu meningkatkan kecekapan, mengurangkan ketirisan serta memperkukuh ketelusan, beliau mengingatkan bahawa penyalahgunaannya boleh mengundang ancaman terhadap keselamatan maklumat pertahanan negara.
Antara risiko yang dikenal pasti termasuk penyalahgunaan akses sistem, perkongsian maklumat tanpa kebenaran, manipulasi data serta penggunaan AI tanpa kawalan.
“Justeru, jangan biarkan kemajuan teknologi mendahului pertimbangan etika dan nilai integriti.
“Jangan sampai kemudahan yang sepatutnya memperkukuh pertahanan akhirnya menggadai kedaulatan dan maruah negara,” katanya.
Lancar Sistem Aduan Integriti, lantik 34 PPI
Sebagai langkah memperkukuh tadbir urus, MINDEF meluncurkan Sistem Aduan Integriti Kementerian Pertahanan yang berfungsi sebagai platform rasmi untuk menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan salah laku, ketirisan serta kelemahan integriti.

Pelaksanaan sistem berkenaan bertujuan memastikan pengurusan aduan dapat dilakukan dengan lebih sistematik, telus dan berkesan, sekali gus meningkatkan akauntabiliti dalam organisasi.


Selain itu, seramai 34 Pegawai Perhubungan Integriti (PPI) turut dilantik daripada pelbagai bahagian dan jabatan bagi memperluas usaha pembudayaan integriti di seluruh kementerian.
Surat pelantikan berkenaan disampaikan secara simbolik kepada Shazeela Ahmad yang mewakili kesemua pegawai terbabit.
Shazeela yang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) berkata, pelantikan tersebut membolehkan pegawai terlibat memainkan peranan sebagai penggerak aktiviti integriti di bahagian masing-masing.

Menurutnya, langkah itu juga dapat meningkatkan penyertaan warga kementerian dalam program kesedaran dan pembudayaan integriti yang dilaksanakan secara berterusan.
Sementara itu, Khaled memaklumkan bahawa MINDEF turut meksanakan penambahbaikan dalam tadbir urus perolehan, termasuk aspek keanggotaan Lembaga Perolehan, jawatankuasa berkaitan serta mekanisme penilaian berdasarkan ketetapan Kementerian Kewangan.
Kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga terus diperkukuh menerusi program advokasi, pendidikan dan literasi integriti.
Di peringkat ATM, kerjasama tersebut diperkasakan melalui pemeteraian Nota Kerjasama antara SPRM dan ATM pada 19 Oktober lalu, khususnya melibatkan mekanisme risikan, siasatan serta perkongsian maklumat.
Majlis bertemakan “Integriti Kita, Nilai Kita” yang mendukung aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 itu turut menyaksikan sesi melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali sambil disaksikan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Timbalan Pesuruhjaya Tuan Mohamad Zakkuan Talib.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman yang mewakili Panglima Angkatan Tentera.
Khaled berharap sambutan Hari Integriti tidak hanya dilihat sebagai acara tahunan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada usaha membentuk warga pertahanan yang berdisiplin, amanah dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan serta tindakan.
“Marilah kita bersama-sama membina Kementerian Pertahanan yang cekap dan berintegriti, ATM yang sentiasa berkeupayaan dan siap siaga serta institusi pertahanan yang dipercayai dan diyakini oleh rakyat,” katanya.







