Peruntukan kecemasan jalan rosak Pahang dilulus seminggu

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 2:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peruntukan kecemasan jalan rosak Pahang dilulus seminggu

KUANTAN: Kerajaan Pahang boleh meluluskan peruntukan dalam tempoh tidak sampai seminggu bagi kerja-kerja penyenggaraan jalan yang melibatkan kecemasan, keselamatan dan menyukarkan pergerakan penduduk, termasuk laluan rosak yang digunakan murid ke sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menyediakan mekanisme khas bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja pembaikan tanpa perlu menunggu proses biasa sekiranya kerosakan jalan memerlukan tindakan segera.

“Aduan boleh dikemukakan melalui pejabat daerah sebelum laporan berkenaan disalurkan kepada Pegawai Kewangan Negeri untuk tindakan meluluskan peruntukan.

“Dalam masa tak sampai seminggu peruntukan akan dikeluarkan. Peraturan-peraturan juga, tetapi bagi kerja kecemasan kita ada kaedah lain untuk mempercepatkan proses kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan supaya tidak menyusahkan rakyat,” katanya ketika menjawab persoalan berhubung mekanisme penyenggaraan jalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mencelah jawapan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim kepada soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Mohamad Rafiq Khan Ahmad mengenai kaedah kerajaan negeri menentukan keutamaan penyenggaraan jalan.

Terdahulu, Razali memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM429.65 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan jalan negeri sepanjang tahun ini, dengan RM393.49 juta atau 91.58 peratus telah dibelanjakan dan diambil kira sebagai tanggungan sehingga 31 Oktober lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM244.23 juta disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, dengan perbelanjaan terkumpul RM177.61 juta, manakala baki RM66.61 juta berada di bawah tanggungan dalam proses pembayaran.

“JKR Pahang menyelenggara jalan negeri sepanjang 2,291.072 kilometer, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang menerima peruntukan RM40.50 juta dengan perbelanjaan RM17.61 juta bagi penyenggaraan jalan sepanjang 175.2 kilometer,” jelasnya.

Sementara itu katanya, sebanyak RM158.18 juta disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Pahang, dengan RM92.19 juta atau 58.28 peratus telah dibelanjakan sehingga 31 Oktober lalu.

Menjawab persoalan mengenai penentuan keutamaan kerja penyenggaraan, Razali berkata pelaksanaannya tertakluk kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan dan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri versi 5.0 yang dikemas kini pada 28 September lalu.

Beliau berkata, kerja penyenggaraan dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk penyenggaraan rutin berjadual, berkala, kecemasan, cerun dan pencegahan mengikut keperluan serta ketetapan garis panduan berkenaan. – UTUSAN

The post Peruntukan kecemasan jalan rosak Pahang dilulus seminggu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved