Unsur nadir bumi ‘emas baharu’ Malaysia, Belanjawan 2026 buka laluan pelaburan strategik - RHB Research

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2025 • 9:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unsur nadir bumi ‘emas baharu’ Malaysia, Belanjawan 2026 buka laluan pelaburan strategik - RHB Research

image is not available

13/10/2025 - 09:32

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Sektor unsur nadir bumi (REE) dijangka menerima manfaat besar susulan langkah kerajaan memperuntukkan dana khusus bagi pemetaan sumber, penilaian rizab serta pembangunan keupayaan hiliran di bawah Belanjawan 2026, kata RHB Research.

Katanya, pada masa sama ia turut memberi penekanan kepada sektor pembinaan dan logistik, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan infrastruktur digital bagi memacu pertumbuhan ekonomi mampan serta mengukuhkan daya saing Malaysia di rantau ini.

Firma penyelidikan itu berkata, langkah strategik itu sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global teknologi hijau dan tenaga bersih, selain memastikan sumber semula jadi negara dimanfaatkan secara mampan.

"Menurut butiran Belanjawan 2026, peruntukan tersebut akan memberi fokus kepada aktiviti pemetaan geologi dan penilaian potensi rizab nadir bumi di kawasan berpotensi tinggi seperti Perak, Kedah, Pahang dan Sabah, bagi mewujudkan pangkalan data sumber yang lebih komprehensif dan telus.

"Pada masa sama, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan sektor hiliran, termasuk pemprosesan, penapisan serta pembuatan komponen berasaskan nadir bumi. Pendekatan ini bertujuan menambah nilai kepada rantaian industri tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap eksport bahan mentah," katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research berkata, pembangunan ekosistem hiliran REE bakal memacu pertumbuhan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, khususnya dalam industri kenderaan elektrik (EV), semikonduktor, RE serta pertahanan.

Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan mempercepatkan pelaburan dalam projek-projek strategik REE, seiring agenda peralihan hijau dan kemampanan nasional.

Firma penyelidikan itu berkata, langkah ini juga dilihat mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi serta memperkukuh daya saing Malaysia dalam sektor bahan strategik global.

"Dengan dasar yang jelas, insentif pelaburan bersasar dan kawalan alam sekitar yang ketat, Malaysia berpotensi muncul sebagai hab pengeluaran nadir bumi mampan di rantau ini, sekali gus memperkukuh struktur ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang," katanya.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, sektor pembinaan dan logistik bakal dirangsang melalui pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Lebuh Raya Pan Borneo dan Trans Borneo, Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (SSLR), serta naik taraf lapangan terbang di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan kecekapan pengangkutan awam turut diteruskan menerusi projek penyambungan akhir perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke Johor Bahru Sentral, selain penyiapan projek LRT3 (Bandar Utama–Johan Setia) dan ECRL (Kota Bharu–Gombak).

Bagi melengkapi jaringan fizikal ini, kerja-kerja mitigasi banjir akan diteruskan di kawasan berisiko tinggi, sementara pelaburan dalam infrastruktur digital akan diperluas bagi meningkatkan akses jalur lebar, inisiatif bandar pintar serta liputan 5G kepada 80% kawasan berpenduduk dan perindustrian menjelang 2026.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM3.3 bilion bagi memperkukuh infrastruktur luar bandar, merangkumi pembinaan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan lampu jalan — langkah yang bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat tetapi juga menyokong aktiviti ekonomi sempadan dan keterhubungan desa.- DagangNews.com

standard