Peruntukan RM736,000 bantu kaji daya tahan gempa bumi di Segamat

LocalEnvironment
13 Nov 2025 • 7:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sejak 24 Ogos, sebanyak tujuh gempa bumi lemah direkodkan di Johor dengan gegaran pertama berlaku di Segamat. Gambar kecil: Tian Soon.

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM736,000 bagi pembelian peralatan pengkelasan peta mikrozonasi seismik yang berfungsi untuk mengenal pasti impak gegaran akibat gempa bumi.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, peralatan tersebut penting bagi membolehkan kajian serta data diperoleh secara lebih tepat dan menyeluruh mengenai kesan daripada bencana alam itu.

Menurutnya, alat tersebut akan digunakan di Segamat bermula awal tahun depan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Peralatan peta mikrozonasi seismik bergerak ini mampu mengkaji daya tahan gegaran terhadap sebahagian tanah dan bangunan susulan kejadian gempa bumi di Segamat.

“Usaha ini penting untuk memastikan kemungkinan gegaran pada masa hadapan dapat dikenal pasti melalui kajian serta data yang lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Johor 2026 di Bangunan Sultan Ismail di sini, pada Khamis.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan antara langkah awal yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana itu.

Langkah tersebut, katanya, diambil susulan beberapa kejadian gempa bumi yang berlaku khususnya di Segamat.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan untuk peralatan berkenaan di bawah teras kelima yang membabitkan usaha mengurangkan risiko bencana.

Sejak 24 Ogos lalu, sebanyak tujuh gempa bumi lemah direkodkan di Johor, dengan gegaran pertama berlaku di Segamat pada magnitud 4.1, disusuli gegaran bermagnitud 2.8 skala Richter pada pagi hari sama.

Gegaran seterusnya direkodkan pada 27 Ogos (3.2), 28 Ogos (2.5), 29 Ogos (3.4), 30 Ogos (2.7) dan 3 November (2.7).

Sebanyak 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil susulan bencana tersebut dari 24 hingga 30 Ogos, dengan anggaran kos baik pulih berjumlah RM550,000.

Laporan itu adalah hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat setakat 3 September, ke atas bangunan melibatkan Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah, sekolah serta kuarters kerajaan.