liza15/10/2026 - 09:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt – RHB Research mengekalkan penarafan Neutral terhadap sektor telekomunikasi Malaysia meskipun menjangkakan prestasi pendapatan syarikat dalam sektor itu bertambah baik pada separuh kedua 2026, didorong penjimatan kos dan pertumbuhan perniagaan pusat data.
Firma penyelidikan itu memilih Telekom Malaysia Berhad (TM), CelcomDigi Berhad dan OCK Group Berhad sebagai saham pilihan utama berdasarkan prospek pertumbuhan pendapatan serta potensi peningkatan kecekapan operasi.
RHB Research menetapkan harga sasaran RM9.30 bagi TM, RM3.70 bagi CelcomDigi dan RM0.80 bagi OCK Group, dengan ketiga-tiga saham diberikan saranan ‘Beli’.
Pendapatan dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2026
RHB Research menjangkakan prestasi pendapatan sektor telekomunikasi meningkat pada separuh kedua 2026 berikutan hasil perkhidmatan mudah alih yang lebih baik, pelarasan harga terpilih dan penjimatan perbelanjaan operasi yang berterusan.
“Bagi TM, peningkatan keuntungan operasi dijangka disokong sumbangan perniagaan borong yang lebih tinggi serta kesan asas perbandingan yang lebih baik selepas pelarasan nilai bayaran pendahuluan akses 5G pada suku pertama 2026.
“Kami turut menjangkakan rundingan awam mengenai piawaian mandatori harga akses (MSAP) bermula pada suku keempat 2026, dengan pelaksanaan berkemungkinan menjelang akhir suku pertama 2027. Kesan perubahan itu terhadap pendapatan syarikat telekomunikasi dijangka dapat diurus, manakala penurunan kos borong 4G berpotensi memberi manfaat kepada TM,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Pusat data, penjimatan kos jadi pemacu TM
RHB Research melihat TM sebagai antara penerima manfaat utama daripada pertumbuhan pusat data berikutan pemilikan aset pusat data domestik, rangkaian gentian optik dan sambungan kabel dasar laut.
Firma itu menjangkakan hasil pusat data TM meningkat pada tahun kewangan 2027 hingga 2028, disokong peningkatan penggunaan kapasiti di Iskandar Puteri dan Cyberjaya. Lebih 70% kapasiti pusat data kecerdasan buatan (AI) TM Nxera, yang dibangunkan bersama Singtel, telah ditempah menjelang permulaan operasi pada suku keempat 2026.
Selain itu, peralihan kepada rangkaian 5G U Mobile pada Ogos 2026 dijangka membantu TM mengurangkan kos borong 5G. Penjimatan perbelanjaan operasi dan kos tenaga kerja susulan langkah penyusunan semula kakitangan turut dijangka menyokong prestasi syarikat mulai tahun kewangan 2027.
CelcomDigi dan OCK turut mempunyai prospek pertumbuhan
Bagi CelcomDigi, RHB Research menjangkakan manfaat daripada sinergi selepas integrasi perniagaan semakin ketara pada tahun kewangan 2027, seiring pelaksanaan inisiatif meningkatkan kecekapan operasi.
Sementara itu, OCK Group menjadi pilihan firma itu bagi pendedahan kepada infrastruktur telekomunikasi, disokong pertumbuhan perniagaan digital dan pengembangan penglibatannya dalam sektor awam.
Risiko DNB dan peraturan masih diperhatikan
Dalam perkembangan berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB), RHB Research berkata penstrukturan semula hutang RM5.2 bilion telah mengurangkan kebimbangan pembiayaan jangka panjang serta risiko pemegang saham syarikat telekomunikasi perlu menyediakan dana tambahan.
“Bagaimanapun, kami berpandangan penjelasan lanjut masih diperlukan berhubung usaha memulihkan keuntungan DNB dan hala tuju perbelanjaan modalnya. “Persaingan, prestasi pendapatan atau dividen yang tidak mencapai jangkaan serta perubahan peraturan turut dikenal pasti sebagai risiko kepada sektor berkenaan,” katanya.
RHB Research turut menjangkakan syarikat telekomunikasi mengekalkan atau meningkatkan pembayaran dividen memandangkan perbelanjaan modal dijangka kekal terkawal. Namun, firma itu berpandangan kenaikan penilaian sektor secara menyeluruh mungkin terhad berikutan risiko berkaitan DNB dan ketidakpastian peraturan menjelang kemungkinan pilihan raya pada 2027. - DagangNews.com





