Peruntukan subsidi bahan api hampir RM40 bilion - Amir Hamzah di Parlimen

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peruntukan subsidi bahan api hampir RM40 bilion - Amir Hamzah di Parlimen Image from: Peruntukan subsidi bahan api hampir RM40 bilion - Amir Hamzah di Parlimen amree03/11/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov – Kerajaan memperuntukkan hampir RM40 bilion bagi subsidi bahan api serta RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2027, bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan harga tenaga global.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika pengulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 berkata, peruntukan bekalan mengurus 2027 bagi Maksud B.10, B.11 dan B.12 naik kepada RM68.16 bilion berbanding RM61.5 bilion dalam peruntukan yang dipinda tahun ini.

 

Beliau berkata, kerajaan mengekalkan subsidi RON95 menerusi BUDI MADANI sehingga 300 liter pada harga RM1.99 seliter berbanding harga sebenar RM4.42, manakala diesel bersubsidi sehingga 400 liter ditawarkan pada harga RM2.10 berbanding harga sebenar RM5.27 seliter.

 

"Kerajaan tidak bersetuju pendekatan yang mencadangkan harga bahan api dan elektrik ditentukan sepenuhnya mengikut harga pasaran, dengan bantuan tunai hanya diberi kepada golongan miskin kerana pendekatan penyasaran subsidi sedia ada membolehkan ramai rakyat terus dilindungi," katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, peruntukan STR dan SARA meningkat kepada RM16 bilion, dengan bantuan SARA dinaikkan sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun pada 2027 berbanding RM100 sebulan atau RM1,200 tahun ini. Penerima eKasih pula layak menerima sehingga RM250 sebulan atau RM3,000 setahun.

 

Bagi golongan bukan penerima STR termasuk hampir 13 juta rakyat dalam kumpulan M40, SARA MADANI sebanyak RM100 akan dikreditkan sebanyak dua kali pada tahun depan. Setakat 31 Oktober 2026, sebanyak RM12 bilion bantuan STR dan SARA telah disalurkan kepada penerima yang layak.

 

SARA_DagangNews2026

 

Selain itu, kerajaan meningkatkan peruntukan Tabung Bantuan Perubatan daripada RM40 juta kepada RM60 juta pada 2027 bagi membantu sehingga 5,000 pesakit kurang berkemampuan mendapatkan rawatan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan. Inisiatif MediAsas pula dijadual dilancarkan pada akhir Januari 2027 sebagai pilihan insurans dan takaful perubatan mampu milik.

 

"Kerajaan turut memperuntukkan RM180 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, selain meningkatkan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, membabitkan 5.3 juta murid dengan peruntukan keseluruhan RM1 billion," tegas Amir Hamzah.

 

Bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bayaran balik pinjaman akan ditangguhkan bagi mereka yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan, manakala peminjam berpendapatan RM2,501 hingga RM3,000 hanya perlu membayar minimum RM50 sebulan.

 

Dalam pada itu, kerajaan melunaskan bayaran balik lebihan cukai pendapatan berjumlah RM20.271 bilion setakat 31 Oktober 2026, melibatkan 3.65 juta kes pembayar cukai individu dan syarikat. Daripada jumlah itu, RM6.84 bilion dibayar kepada 3.4 juta pembayar cukai individu, manakala RM13.036 bilion kepada 206,234 pembayar cukai syarikat termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Mengulas pembangunan negeri, Amir Hamzah berkata, Sabah menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM18.7 bilion pada 2027, manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion. Kedua-dua negeri itu masing-masing mencatatkan peningkatan peruntukan sebanyak 6.2% dan 7.7% berbanding 2026.

 

Beliau turut menjelaskan dakwaan pembatalan projek atau Surat Setuju Terima (SST) bagi projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak adalah tidak benar, sebaliknya kerajaan mengambil langkah menangguhkan tender serta pengeluaran SST baharu bagi mengawal komitmen perbelanjaan dan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

 

"Semua projek dalam senarai yang diluluskan Kementerian Ekonomi kekal untuk dilaksanakan, namun jadual pelaksanaannya perlu disusun semula mengikut kemampuan peruntukan," jelas beliau.

 

Sementara itu, baki Wang Tak Dituntut (WTD) direkodkan sebanyak RM14 bilion setakat 30 September 2026, dengan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) terus memperluas kemudahan semakan dan tuntutan menerusi portal eGUMIS serta program kesedaran di seluruh negara.

 

Dalam isu pengurusan aset awam, beliau berkata kos sukuk terkumpul Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) kepada Lembaga Tabung Haji (TH) mencecah RM5.8 bilion setakat akhir 2025, menjadi faktor utama kerugian terkumpul UJSB meningkat kepada RM13.2 bilion.

 

Bagaimanapun, simpanan pendeposit TH meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025, manakala asetnya bertambah daripada RM76.8 bilion kepada RM98.6 bilion dalam tempoh sama. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved