
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program Budi Madani disifatkan sebagai antara kejayaan negara dalam melaksanakan penyasaran subsidi yang bukan sahaja membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, malah membendung ketirisan subsidi bahan api.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95), rakyat yang layak dapat menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.42 seliter, dengan kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Beliau berkata, rakyat turut menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
“Inilah antara kaedah yang kita berikan kepada rakyat untuk menolong mengurangkan beban kos sara hidup, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.
“Misalnya, pengguna RON95 yang menggunakan 100 liter sebulan boleh menikmati penjimatan, manakala mereka yang menggunakan keseluruhan kelayakan 300 liter mendapat manfaat penjimatan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan pembelian petrol bersubsidi membantu mengekang ketirisan, khususnya pembelian oleh warga asing yang tidak layak menikmati subsidi berkenaan.
Katanya, penjimatan hasil usaha mengurangkan ketirisan itu dapat dimanfaatkan semula bagi menambah baik bantuan kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan fiskal negara.
“Kerajaan turut mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan subsidi, termasuk kes yang dikesan di Nibong Tebal baru-baru ini,” katanya.
Mengulas cadangan mengecualikan golongan berpendapatan 20 peratus tertinggi (T20) daripada menikmati subsidi RON95, Amir Hamzah berkata, perkara itu perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana kerajaan ketika ini tidak mahu menambah tekanan kepada rakyat.
“Buat masa sekarang, usaha kita untuk mengurangkan beban pada rakyat dan kita tak nak menekan buat masa sekarang. Isunya ialah memastikan kita potong ketirisan yang berlaku. Dari situlah kita dapat penjimatan yang kita nak,” katanya. – Bernama
The post Budi Madani antara kejayaan negara elak ketirisan appeared first on Kosmo Online.






