
HULU TERENGGANU – Seorang pesara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras Sungai Terengganu berhampiran Kampung Pulau Kudat, di sini, hari ini.
Kejadian pada pukul 10.15 pagi itu dikatakan berlaku selepas mangsa, Harun Ibrahim, 51, menyelamatkan salah seorang cucu saudaranya yang lemas.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, sebelum kejadian, Harun beriadah bersama tiga ahli keluarganya di lokasi kejadian pada pukul 9.50 pagi.
“Tidak lama kemudian, cucu saudara mangsa (Harun) yang sedang mandi di dalam sungai itu dikatakan tiba-tiba lemas.
“Mangsa (Harun) yang menyaksikan kejadian itu dikatakan bertindak pantas menyelamatkan cucu saudaranya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, begitupun Harun pula yang dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus deras sungai selepas berjaya menyelamatkan cucu saudaranya tersebut.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu telah dilancarkan, namun setakat ini lelaki tersebut masih belum ditemui. – KOSMO! ONLINE
The post Pesara dikhuatiri lemas selepas selamatkan cucu saudara appeared first on Kosmo Digital.






