HULU TERENGGANU - Niat murni seorang lelaki menyelamatkan cucu saudaranya yang hampir lemas bertukar tragedi apabila dia sendiri dikhuatiri hilang dalam kejadian di Sungai Kampung Pulau Kudat, Kuala Berang, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa, Harun Ibrahim, 51, dilaporkan gagal dikesan di lokasi kejadian sejurus menyelamatkan cucu saudaranya itu.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian menerusi panggilan MERS 999 jam 10.15 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 10.51 pagi.
**media[3601984]**
"Berdasarkan maklumat awal daripada penduduk kampung, mangsa pada mulanya cuba menyelamatkan cucu saudaranya yang sedang mandi di sungai berkenaan.
"Malangnya, selepas berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut, mangsa tiba-tiba lemas dan tenggelam ke dalam sungai serta tidak lagi kelihatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Sharudin berkata, susulan laporan itu, Timbalan Ketua Polis Balai Kuala Berang bersama lapan anggota membabitkan unit Rondaan Cegah Jenayah (RCJ), Unit Rondaan Bermotor (URB), serta kereta peronda polis (MPV) telah bergegas ke tempat kejadian.
**media[3601985]**
"Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian sedang giat dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang yang menggerakkan seramai enam anggota," katanya.
Difahamkan, mangsa merupakan seorang penerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pesakit dialisis buah pinggang.






