
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tragedi kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights baru-baru ini nyata menjadi perhatian dan masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.
Dalam insiden yang berlaku pada 1 April lalu kira-kira jam 8.10 pagi, api dianggarkan menjulang sehingga 30 meter ke udara dengan suhu mencecah hampir 1,000 darjah Celsius.
Insiden itu menyebabkan ratusan rumah rosak serta harta benda seperti kenderaan turut musnah.
Sudah pastilah, mangsa yang terkesan akibat kejadian itu menerima kesan yang amat dahsyat, bukan sahaja kehilangan tempat tinggal malah turut menanggung beban emosi.
Pesara Hilang Kediaman & Harta Benda, Anggap Diri Kini Sama Dengan Gelandangan
Berkongsi kisah sendiri yang terlibat dengan kejadian kebakaran itu, seorang pesara kerajaan, Zainuddin Abdul Halim mendedahkan dia kini ibarat seperti seorang gelandangan.
Ini kerana tragedi itu telah memusnahkan sembilan kediaman miliknya termasuk lapan unit rumah sewa serta harta benda yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta.
“Sekarang, saya bukan lagi B40, saya seperti gelandangan yang tidak mempunyai apa-apa,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Malah, dia yang berasal dari Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong juga terpaksa melupakan hasrat untuk menunaikan umrah pada Rabu (9 April) depan akibat tragedi berkenaan.
Baru Pulang Dari Beli Sarapan, Sedang Berbual Dengan Isteri Perancangan Balik Kampung
Bercerita dengan lebih lanjut detik kejadian itu, Zainuddin mendedahkan pada ketika itu dia baru sahaja pulang ke rumah selepas keluar sarapan bersama rakannya.
“Pagi itu, saya membeli lima roti canai kosong dan dua roti telur untuk anak-anak. Sampai saja di rumah sekitar jam 8.10 pagi, saya letak makanan itu di dapur sebelum masuk ke dalam bilik.
“Ketika itu, isteri sedang melipat kain dan kami berborak mengenai perancangan balik ke kampungnya di Rembau.
“Kira-kira lima minit kemudian, saya terdengar bunyi letupan dan rumah kami bergegar. Selepas itu, saya terdengar pula bunyi deruan kuat macam bunyi enjin jet.
“Apabila menjenguk ke luar pintu rumah, saya nampak benda berjatuhan dan langit berwarna merah,” katanya.
Terus Minta Ahli Keluarga Larikan Diri, Lari Sehingga 200 Meter
Ekoran daripada itu, dia terus menjerit dan meminta ahli keluarga keluar dan melarikan diri ke tempat yang selamat.
“Anak saya minta selamatkan kereta dulu tetapi saya kata tak dapat. Kalau saya selamatkan kereta, rasanya saya akan mati.
“Ada seorang penyewa yang bekerja sebagai petugas kesihatan, juga menyuruh semua orang lari selamatkan diri.
“Setelah berlari kira-kira 100 meter (m), kami berlindung di rumah terdekat dan membasahkan badan. Selepas itu, kami teruskan berlari kira-kira 100 m lagi untuk selamatkan diri sebab tidak tahan dengan bahang api ketika itu,” katanya.
Setelah tiba di kawasan selamat, Zainuddin menjelaskan pihak berkuasa termasuklah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) serta ambulans membawa dia sekeluarga pergi ke hospital.
Jarak Rumah Dengan Lokasi Letupan Hanya 30 Meter, Syukur Masih Dipanjangkan Usia
Malah, dia bersyukur apabila terselamat dari tragedi itu apatah lagi jarak kediamannya dengan lokasi letupan hanyalah kira-kira 30 hingga 40 meter.
“Saya sangat bersyukur. Kalau melihat kepada lokasi dan masa kejadian, saya percaya Tuhan sudah mengaturkan yang paling baik. Kalau lewat atau cepat sesaat, sudah pasti saya mati.
“Jarak rumah saya dengan lokasi letupan itu hanya kira-kira 30 hingga 40 meter. Saya fikir kalau ada yang mati dulu, sayalah orang pertama,” kongsinya lagi.
70% Bahagian Tubuh Pesara Melecur & Luka, Anak Turut Jalani Pembedahan
Akibat kejadian itu juga, Zainuddin serta lapan ahli keluarganya yang lain iaitu isteri, ibu mentua, tiga anak, dua menantu serta seorang cucu menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Tubuh Zainuddin lecur dan luka sebanyak 70% manakala anaknya baru selesai menjalani pembedahan.
“Anak saya baru selesai menjalani pembedahan sebab melecur teruk di bahagian tapak kaki berikutan dia berlari tanpa selipar untuk menyelamatkan diri ketika kejadian,” ceritanya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: “Hayat Paipnya Cecah 50 Tahun” – Bekas Jurutera Dedah Standard Penyelenggaraan Petronas Tinggi
Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Sebabkan Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights
Baca Artikel Berkaitan: Projek Pembinaan Berhampiran Lokasi Kebakaran Paip Gas Putra Heights Ada Kelulusan – Datuk Bandar Subang Jaya
Baca Artikel Berkaitan: Kes Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights: CIDB Mohon Maaf, Tarik Balik Kenyataan Selepas Dedah Siasatan Awal
Source:




