
KANGAR: Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan kesalahan amang seksual fizikal dan melakukan kekerasan terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun pada Ogos lalu.
Tertuduh, Annuar Abdullah, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Sesyen, Syarifah Norazlita Syed Salim Idid.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Utama, di sini, sekitar pukul 6.30 petang pada 11 Ogos lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalah yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit salah, tertuduh boleh dihukum dengan penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh disebat.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Utama, di sini, sekitar pukul 6.30 petang pada 11 Ogos lepas.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit salah boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda atau sebat atau mana-mana dua dari seksaan-seksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM20,000.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di balai berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak boleh menganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 24 November depan. – UTUSAN
The post Pesara kerajaan didakwa lakukan amang seksual ke atas dua kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.






