Suami Didakwa Bunuh Pegawai AKPS Di Nilai

26 Oct 2026 • 4:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Suami Didakwa Bunuh Pegawai AKPS Di Nilai

SEREMBAN - Suami kepada seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan meninggal dunia di kuarters kerajaan di Nilai pada 15 Oktober lalu, didakwa atas pertuduhan membunuh isterinya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mohd Khairudin Safi’ai, 39, tidak membuat pengakuan terhadap pertuduhan itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Dia didakwa membunuh isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, di kediaman mereka di Kluster 6, Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, Nilai, kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sarip.

Mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, turut hadir pada prosiding berkenaan.

Norhazwani ditemukan meninggal dunia di kuarters itu sebelum suaminya menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, bagi membantu siasatan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher, selain mengalami kecederaan tikaman di bahagian sisi abdomen dan pipi.

Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga selepas Norhazwani dilaporkan menyatakan hasrat untuk memfailkan perceraian.

Pasangan itu telah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan dua anak berusia enam dan lima tahun.

Semakan polis turut mendapati Mohd Khairudin mempunyai 16 rekod jenayah lampau, termasuk 10 berkaitan dadah dan enam lagi membabitkan pecah rumah, kecurian serta pemilikan harta curi.- Getaran, 26 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved