Pesara didakwa lakukan amang seksual fizikal, kekerasan jenayah terhadap dua kanak-kanak

26 Oct 2026 • 5:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Pesara didakwa lakukan amang seksual fizikal, kekerasan jenayah terhadap dua kanak-kanak

Seorang pesara kerajaan berusia 72 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan amang seksual dan kekerasan jenayah.

KANGAR: Seorang pesara kerajaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan kekerasan jenayah terhadap dua kanak-kanak perempuan, Ogos lepas.

Annuar Abdullah, 72, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di sebuah rumah di Jalan Utama, di sini pada 6.30 petang, 11 Ogos.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Lelaki itu juga diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan mahkamah menetapkan 24 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved