
KUALA TERENGGANU – Seorang pesara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Risda) Terengganu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada enam tuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM15,350 milik sebuah persatuan.
Hakim Azman Mustapha memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd. Amran Ghazali, 61, pada akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, beliau mendapati penggunaan wang itu adalah konsisten dengan tujuan persatuan dan tidak menunjukkan tertuduh secara curang menyalahgunakan wang berkenaan.
“Setelah menimbang kes terhadap tertuduh, saya mendapati wang yang digunakan untuk membiayai program-program RISDA negeri dan perkara itu selari dengan keterangan SP7 (saksi pendakwaan),” katanya ketika membacakan penghakimannya.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Amran yang ketika itu merupakan ahli Persatuan Kakitangan Islam Pejabat Risda Terengganu (Perkit) didakwa menyalahgunakan wang milik persatuan sebanyak enam kali antara 2016 dan 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Kosmo! Online pada 21 Oktober 2021 melaporkan Mohd. Amran yang ketika itu merupakan pembantu tadbir Risda Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen atas enam tuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM15,350 milik Perkit. – KOSMO! ONLINE
The post Pesara Risda bebas enam dakwaan salah guna dana Perkit appeared first on Kosmo Online.




