
KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda berusia 22 tahun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tiga pertuduhan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Muhammad Nuriman Nabil Mohd. Hisham.
Beliau berkata, keterangan mangsa yang berusia 12 tahun 11 bulan ketika kejadian didapati tidak konsisten dan meragukan.
“Antara perkara utama yang menimbulkan keraguan adalah percanggahan tarikh kejadian dalam laporan polis, laporan perubatan dan rakaman percakapan mangsa selain keterangan saksi yang gagal menyokong dakwaan tersebut.
“Mahkamah turut mengambil kira percanggahan keterangan saksi berhubung kejadian yang didakwa berlaku di dalam kereta dan kelewatan mangsa membuat laporan polis,” katanya ketika membacakan penghakimannya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Muhammad Nuriman Nabil didakwa merogol mangsa di dalam sebuah kereta di kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, di sini antara pukul 8 hingga 8.30 malam, 28 Jun 2023.
Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyuruh mangsa memegang alat sulitnya di lokasi dan waktu yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan perbuatan seks luar tabii terhadap mangsa pada waktu dan di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemuda bebas tuduhan ‘sentuh’ kanak-kanak perempuan dalam kereta appeared first on Kosmo Online.





