
GUA MUSANG – Pengalaman ditembak tentera komunis pada bahagian atas mata kanan ketika dalam perjalanan dari Pengkalan Hulu ke Gerik, Perak lebih 50 tahun lalu menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan pesara Senoi Praaq Orang Asli, Koperal Othman Hitam, 70.
Othman berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 pagi ketika dia memandu kenderaan Land Rover yang menyertai konvoi bersama tiga anggota lain pada tahun 1970-an.
Katanya, keadaan bertukar cemas apabila ekzos kenderaan tiba-tiba meletup menyebabkan tentera komunis menyangka serangan dilancarkan dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka.
“Peluru terkena bahagian atas mata sebelah kanan saya. Ketika itu, kami berempat telah mengalami kecederaan dalam serangan yang berlangsung selama 30 minit itu.
“Meskipun bahagian atas mata sudah tercedera, saya tidak meninggalkan kenderaan kerana memikirkan keselamatan anggota lain yang berkonvoi dan berada di belakang,” katanya.
Othman yang berasal dari Pos Kemar, Gerik, Perak berkata, tiga rakannya keluar daripada kenderaan sebelum dia bertindak mengalihkan kenderaan ke tepi bagi memastikan laluan konvoi tidak terhalang.
“Saya tetap pandu kenderaan ke tepi walaupun cedera kerana kalau kenderaan berada di tengah jalan boleh menyebabkan laluan konvoi tersekat. Selepas itu, rakan-rakan saya yang cedera dihantar ke hospital di Pulau Pinang dan saya menerima rawatan di Hospital Baling, Kedah,” katanya.
Othman berkata, sehingga kini kejadian tersebut masih kekal dalam ingatannya terutama detik peluru mengenai bahagian atas mata kanannya. – KOSMO! ONLINE
The post Pesara Senoi Praaq sukar lupa pengalaman ditembak atas mata appeared first on Kosmo Digital.





