Pesara tentera bebas 17 pertuduhan cabul, pukul rekrut

25 Sep 2026 • 8:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pesara tentera bebas 17 pertuduhan cabul, pukul rekrut

MELAKA – Seorang pesara tentera dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, daripada 17 pertuduhan termasuk 15 kesalahan mencabul seorang rekrut lelaki di Kem Terendak, tiga tahun lalu.

Majistret Uthman Abd. Ghani membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd. Amanah Habhijullah, 38, bagi kesemua pertuduhan.

Menurut Uthman, kes pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan pengadu selaku saksi pendakwaan pertama (SP1), sedangkan tarikh dan masa bagi setiap pertuduhan tidak dinyatakan secara spesifik.

Katanya, SP1 mengakui tidak mengingati tarikh kejadian, manakala pendakwaan berhujah 15 kesalahan berlaku antara Ogos hingga Oktober 2023.

“Namun, terdapat keterangan langsung daripada SP1 bahawa kejadian penggunaan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatannya hanya berlaku anggaran dua atau tiga kali sahaja.

“SP1 hanya ingat satu tarikh iaitu 14 Oktober 2023, itupun selepas dirujuk dengan laporan polis dibuatnya,” katanya ketika membacakan penghakiman ringkas di akhir kes pendakwaan.

Uthman berkata, keterangan berkaitan kejadian pada 14 Oktober 2023 mempunyai beberapa percanggahan material antara laporan polis SP1 dengan keterangannya di mahkamah, selain tiada keterangan sokongan daripada saksi lain.

Bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, mahkamah turut mendapati beberapa percanggahan keterangan saksi pendakwaan berhubung dakwaan tertuduh mencederakan SP1, termasuk cara kejadian berlaku dan tahap kecederaan yang dialami.

Bagi pertuduhan ke-17 pula, Uthman berkata, terdapat percanggahan apabila SP1 menyatakan terdapat saksi lain termasuk SP7, sedangkan laporan polis menunjukkan hanya SP1 dan tertuduh berada di tempat kejadian.

Katanya, selepas meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati kes pendakwaan dipenuhi ketidakpastian, percanggahan material dan keraguan munasabah.

“Walaupun mahkamah menerima keterangan bahawa SP1 mengalami trauma dan kemurungan, keputusan perlu dibuat berdasarkan bukti mencukupi dan bukannya simpati,” ujarnya.

Terdahulu, pendakwaan telah dikendalikan olej Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin, manakala tertuduh diwakili peguam S.Daniel.-KOSMO! ONLINE

The post Pesara tentera bebas 17 pertuduhan cabul, pukul rekrut appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved