
KANGAR – Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan mencabul dua kanak-kanak perempuan dalam kejadian di sebuah rumah di sini, Ogos lalu.
Tertuduh, Annuar Abdullah, 72, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarifah Norazlita Syed Salim Idid.
Dia berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Warga emas itu turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kangar kira-kira pukul 6.30 petang, 11 Ogos lalu.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung dan darah tinggi selain menanggung isteri yang tidak bekerja serta memberikan aku janji untuk hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta beberapa syarat tambahan iaitu diwajibkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh juga dilarang mendekati atau mengganggu kedua-dua mangsa serta saksi pendakwaan dan mahkamah menetapkan 24 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan. – KOSMO! ONLINE
The post Pesara tidak mengaku ‘sentuh’ dua kanak-kanak perempuan appeared first on Kosmo Online.





