Pengguna Threads fitnah Christy Ng perlu mohon maaf dalam dua akhbar

26 Oct 2026 • 7:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengguna Threads fitnah Christy Ng perlu mohon maaf dalam dua akhbar

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini memerintahkan seorang pengguna Threads menyiarkan permohonan maaf di dua akhbar dalam tempoh empat hari berhubung fitnah terhadap usahawan fesyen yang juga pempengaruh Christy Ng serta syarikatnya Christy Ng Sdn. Bhd.

Hakim, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian pada prosiding pendengaran komital berhubung kes saman yang dikemukakan Christy Ng terhadap J.Vikneshvra Rau.

Mahkamah memerintah permohonan maaf itu dilakukan dalam dua akhbar masing-masing bahasa Melayu dan Inggeris iaitu The Star dan Harian Metro selain kandungannya mestilah memuaskan hati pihak plaintif.

Mahkamah turut memerintahkan kos penerbitan diuruskan oleh Christy, 39, namun pembayarannya dijelaskan oleh Vikneshvra, 36, (defendan).

Menurut Hakim Arziah, jika defendan tidak mampu membayar kos penerbitan, jumlah itu akan ditambah kepada kos terhadap pembayaran rugi RM180,000 yang diputuskan sebelum ini.

“Jika terdapat ketidakpatuhan terhadap perintah permohonan maaf sebelum Sabtu (31 Oktober ini), defendan hendaklah hadir semula ke mahkamah ini pada 2 November ini untuk mahkamah memberi arahan lanjut,” kata Hakim Arziah.

Pada masa sama, Hakim Arziah turut menolak permohonan Christy agar Vikneshvra dikenakan perintah komital kerana menghina mahkamah ekoran kegagalannya menerbitkan pemohonan maaf yang diperintahkan terhadapnya pada 13 Februari lalu.

Terdahulu defendan yang bekerja sendiri itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak dapat mematuhi perintah tersebut (permohonan maaf menerusi akhbar) disebabkan kekangan kewangan termasuk bayaran kereta dan rumahnya yang telah tertunggak selama empat bulan.

​”Saya bersedia untuk mematuhi perintah ini, tetapi saya memang tidak mempunyai sebarang harta atas nama saya untuk membayar kos penyiaran permohonan maaf di akhbar,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam, Foong Cheng Leong yang mewakili Christy menegaskan tindakan defendan jelas menghina mahkamah kerana sengaja memperlekeh Christy di akaun Threads walaupun mengetahui perintah sudah dikeluarkan terhadapnya.

Pada 13 Februari lalu Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap Vikneshvra selain membenarkan beberapa relif termasuk perintah injunksi bagi menghalangnya daripada terus menerbitkan kenyataan fitnah, selain mengarahkannya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka di akhbar dan akaun media sosial.

Susulan itu pada 25 Jun lalu, Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi global berjumlah RM180,000 kepada Christy dan syarikatnya selepas penilaian ganti rugi dibuat selepas merekodkan penghakiman ingkar.

Daripada jumlah itu, RM140,000 dianugerahkan kepada Christy, manakala RM40,000 diberikan kepada syarikatnya.

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar faedah dan kos RM10,000, selain menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam dua akhbar serta akaun media sosialnya.

Meskipun defendan menyiarkan permohonan maaf menerusi akaun Threads pada 19 Mac lalu, dia didakwa masih gagal menerbitkan permohonan maaf seperti diarahkan dalam akhbar, termasuk The Star dan Harian Metro.

Berikutan kegagalan defendan memohon maaf dalam akhbar, plaintif memfailkan permohonan komital. – KOSMO! ONLINE

The post Pengguna Threads fitnah Christy Ng perlu mohon maaf dalam dua akhbar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved