Pesawah boleh hilang hasil hingga 20%

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 7:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pesawah boleh hilang hasil hingga 20%

ARAU: Selepas mengalami kerugian teruk ekoran kelewatan bekalan baja, pesawah kini berdepan pula isu peningkatan kadar potongan pemutuan padi yang didakwa sehingga enam peratus.

Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim,63, berkata, ke­banyakan pesawah yang sudah menghantar padi ke kilang mendakwa berdepan kenaikan potongan sehingga 24 peratus iaitu bergantung kepada kualiti padi.

Katanya, jika sebelum ini, kadar potongan antara 18 hingga 21 peratus.

“Di Perlis setakat ini, an­tara 30 sehingga 35 peratus kawasan sudah mula me­nuai. Sebelum ini, pesawah berdepan masalah kelewatan baja, sekarang peningkatan pemotongan pemutuan padi pula,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, hasil 40,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terkesan dengan isu kelewatan pembekalan baja sebatian tambahan dijangka merosot sehingga 80,000 tan metrik atau sekitar 40 sehingga 50 peratus musim ini.

Anggaran kemerosotan ter­sebut selepas mengambil kira hasil pesawah yang kelaziman lima ke enam tan metrik perhektar dijangka menyusut sekitar tiga tan metrik sahaja.

Perkara itu turut memberi kesan kepada penghasilan beras negara yang dijangka merosot 48,000 tan metrik atau sekitar 40 peratus selain bakal menyebabkan sasaran peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) beras Malaysia kepada 80 peratus semakin jauh.

Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban mempersoal, jika berlaku kenaikan, siapakah yang menetapkan atau apa asas potongan tersebut selain kementerian perlu memantau seterusnya melindungi pesawah dalam isu berkenaan.

Katanya, sebagai contoh, pesawah yang menghantar tiga tan metrik padi boleh hilang hasil sehingga 600 kilogram sekiranya pemotongan 20 peratus.

“Belum reda isu kelewatan baja, pesawah kini berdepan satu lagi persoalan besar membabitkan timbangan padi tersebut. Kalau satu tan metrik padi, 200 kilogram boleh hilang melalui pemotongan 20 peratus tersebut.

“Siapa yang sebenarnya menentukan angka itu.” katanya.

“Jika benar ada asas teknikal, jelaskan kepada pesawah secara terbuka. Jangan biarkan setiap kilang mempu­nyai tafsiran sendiri sehingga petani menjadi pihak yang sentiasa menanggung kerugian,” katanya.

Mohd. Shazwan berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai fungsi kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan industri padi dan beras.

“Jangan hanya ada lesen untuk kilang, tetapi apabila pesawah bertanya berhubung soal timbangan, jawapannya kabur. Hari ini mungkin 20 peratus dan jika dibiarkan, siapa tahu berkemungkinan selepas ini 25 atau 30 peratus.

“Kita mahu, pihak kementerian menjelaskan dasar timbangan musim menuai ini dan pantau semua kilang berlesen. Jangan biarkan pesawah terus menjadi mangsa dengan potongan yang tinggi itu,” katanya. – UTUSAN

The post Pesawah boleh hilang hasil hingga 20% appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved