Pesawah boleh mohon permit khas bekalan diesel – KPDN

LocalPolitics
15 May 2026 • 9:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pesawah boleh mohon permit khas bekalan diesel – KPDN
Laporan Sinar Harian pada Khamis

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyediakan permit khas bagi membantu pesawah dan petani mendapatkan bekalan diesel serta petrol secara berterusan.

KPDN Selangor memaklumkan, permit khas itu dikeluarkan berikutan keluhan pemilik jentera padi yang mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan bekalan diesel.

KPDN Selangor berkata, permit berkenaan boleh dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan atau Timbalan Pengawal Bekalan di bawah kategori pertanian dan penternakan untuk membolehkan pembelian bahan api dibuat di mana-mana stesen minyak dipilih.

"Pesawah atau petani yang layak boleh memohon permit khas untuk membeli diesel dan petrol di luar tangki asal kenderaan bagi kegunaan menggerakkan jentera, perkakas dan peralatan pertanian.

"Pembelian bahan api ini adalah khusus untuk kegunaan pertanian dan penternakan serta bukan untuk tujuan jualan semula," tegas kenyataan itu pada Jumaat.

KPDN Selangor menjelaskan, jumlah had kuantiti kelayakan yang diberikan adalah tidak melebihi 200 liter sehari bagi setiap pembelian.

Bagaimanapun, KPDN Selangor memaklumkan permohonan pembelian melebihi 200 liter sehari masih boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, tempoh proses pengeluaran permit baharu mengambil masa lima hari bekerja bermula daripada tarikh permohonan disahkan lengkap.

"Tempoh sah permit khas pula adalah tidak melebihi 12 bulan dari tarikh permit dikeluarkan,” katanya.

Permohonan Permit Khas boleh dibuat menerusi portal rasmi KPDN di Portal Permohonan Permit Khas KPDN.

Selain itu, KPDN Selangor turut memaklumkan satu sesi libat urus dan Hari Bertemu Pelanggan akan diadakan dalam masa terdekat melibatkan pesawah serta petani di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

"Program itu bertujuan memastikan golongan terbabit mendapat penerangan dan perkhidmatan secara langsung berkaitan permohonan permit khas pembelian bahan api," tambah kenyataan berkenaan.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kira-kira 6,000 hektar sawah di sekitar kawasan Sekinchan, Sungai Leman, Sungai Nipah dan Pasir Panjang di sini berisiko terjejas berikutan kesukaran pemilik jentera padi mendapatkan bekalan diesel sekali gus menjejaskan anggaran pengeluaran padi sehingga 42,000 tan metrik semusim.

Isu itu membabitkan kira-kira 2,900 pesawah di kawasan terbabit yang berdepan kesukaran menuai padi akibat kekangan bekalan bahan api.