
LONDON: Universiti di Britain berdepan tekanan kewangan yang semakin serius akibat kemerosotan jumlah pelajar antarabangsa.
Angka baharu menunjukkan isu tersebut menyebabkan sektor pendidikan tinggi di negara itu kehilangan sumber pendapatan penting yang akan menjejaskan masa depannya.
Pemimpin sektor pendidikan tinggi menggesa kerajaan menilai semula levi terhadap yuran pelajar antarabangsa yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Keir Starmer.
Bekas menteri universiti memberi amaran terdapat risiko universiti ‘gulung tikar’ akibat krisis kewangan.
Amaran itu dibuat ketika pelajar sekolah menengah Britain mencatat keputusan A-level yang lebih baik, dengan rekod 194,800 pelajar berusia 18 tahun di England diterima masuk ke universiti pilihan pertama mereka.
Bagaimanapun, beberapa naib canselor universiti yang ditemu bual The Guardian berkata, peningkatan itu tidak mencukupi untuk menghalang pengurangan berterusan jumlah kakitangan dan program pengajian.
Angka yang diterbitkan Kementerian Dalam Negeri Britain menunjukkan permohonan visa pelajar sehingga akhir Julai merosot 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Memandangkan permohonan visa pada musim panas dibuat sebelum sesi akademik baharu bermula pada musim luruh, angka itu menimbulkan kebimbangan banyak universiti Britain akan mengalami kerugian besar jika trend itu berterusan.
Sesetengah pihak menjangkakan kemasukan pelajar antarabangsa boleh merosot sehingga 30 peratus.
Naib Canselor King’s College London, Prof. Shitij Kapur berkata, kemerosotan jumlah pelajar antarabangsa itu selari dengan jangkaan pesimis sebelum ini dan mungkin turut mencerminkan penurunan permohonan pascasiswazah pada awal tahun.
“Perkara paling penting ialah kesan kitaran ini yang hanya akan jelas sekitar Oktober. Secara ringkasnya, setiap lima pelajar antarabangsa memberi kesan kepada satu pekerjaan di universiti.
“Jumlah yang semakin menurun ini pasti akan memberi kesan kepada kesihatan kewangan dan jumlah kakitangan universiti,” katanya.
The post Universiti Britain tertekan pelajar antarabangsa merosot appeared first on Utusan Malaysia.






