
ADDIS ABABA – Sebuah penerbangan Ethiopian Airlines menuju Israel terpaksa berpatah balik kelmarin selepas salah seorang juruterbangnya didapati warganegara Indonesia, lapor saluran berita N12 News.
Indonesia yang merupakan sebuah negara Islam, pada masa ini tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, menyebabkan warganegaranya tidak layak terbang ke Israel atas faktor risiko keselamatan.
N12 melaporkan bahawa identiti juruterbang itu dimaklumkan kepada pasukan keselamatan serta kakitangan lapangan terbang Israel, yang menuntut pesawat berpatah balik semasa masih berada di ruang udara Ethiopia.
Juruterbang itu kemudian ditukar dengan juruterbang lain, sebelum pesawat tersebut berlepas semula dan berjaya mendarat di Israel.
Menurut N12, syarikat penerbangan itu mendakwa tidak mengetahui bahawa juruterbang berkenaan tidak dibenarkan terbang ke Israel.
Kejadian ini berlaku beberapa minggu selepas penerbangan komersial flydubai dari Dubai ke Tel Aviv menyaksikan percubaan merampas pesawat oleh seorang juruterbang Oman.
Minggu lalu, N12 melaporkan bahawa lebih 1,200 kru penerbangan dari negara tanpa hubungan diplomatik dengan Israel termasuk Iran, mungkin telah memasuki Israel. – AGENSI
The post Pesawat dilarang mendarat di Israel kerana juruterbang rakyat Indonesia appeared first on Kosmo Online.



