Peserta Himpunan Tangkap Azam Baki bertindak luar kawalan, cetus kekecohan di Jalan TAR

LocalPolitics
25 Apr 2026 • 6:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peserta Himpunan Tangkap Azam Baki bertindak luar kawalan, cetus kekecohan di Jalan TAR
Ketika Rafizi dibawa melintasi jalan menuju ke arah Dataran Merdeka, suasana menjadi semakin tidak terkawal dengan berlaku tolak-menolak antara kedua-dua pihak. FOTO SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Peserta Himpunan Tangkap Azam Baki bertindak luar kawalan apabila menghalang pihak polis yang cuba menunda dua kenderaan milik sekretariat himpunan sehingga mencetuskan kekecohan dan tolak-menolak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada Sabtu.

Kejadian berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat menuju ke Dataran Merdeka ketika anggota polis menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan terbabit.

Situasi menjadi tegang apabila sebahagian daripada peserta yang hadir bertindak menghalang pihak berkuasa daripada menunda kenderaan berkenaan.

Tindakan itu menyebabkan berlaku insiden tolak-menolak antara peserta dan anggota polis yang bertugas.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, kemudian tampil meredakan keadaan dengan menghampiri pegawai polis di lokasi kejadian.

Beliau difahamkan cuba bertemu Ketua Polis Daerah Dang Wangi bagi mendapatkan kebenaran melanjutkan tempoh ucapan selain memohon agar kenderaan sekretariat tidak ditunda.

Bagaimanapun, keadaan kembali tegang apabila peserta yang menyangka beliau akan ditahan sebelum mereka mula bertindak agresif.

Beberapa individu dilihat menghalang pegawai polis daripada menghampiri Rafizi sehingga mencetuskan kekecohan yang lebih serius.

Ketika Rafizi dibawa melintasi jalan menuju ke arah Dataran Merdeka, suasana menjadi semakin tidak terkawal dengan berlaku tolak-menolak antara kedua-dua pihak.

Tidak lama kemudian, beliau sekali lagi tampil menenangkan peserta dan meminta mereka kembali ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Rafizi turut dilihat mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi bagi meredakan ketegangan sebelum beliau

kembali kepada peserta dan menjelaskan situasi sebenar serta menggesa semua pihak agar bersabar dan bertenang.

Rafizi dalam ucapan memaklumkan pihak sekretariat diberikan tempoh kira-kira 20 minit sehingga jam 5.40 petang untuk menamatkan ucapan sebelum bersurai secara aman.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak polis bimbang sekiranya himpunan diteruskan, insiden letupan mercun berhampiran pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur yang berlaku pada awal perhimpunan berulang.

Menurutnya, pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang dipercayai bertanggungjawab membakar mercun dalam usaha mensabotaj perhimpunan berkenaan.