
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Penganjuran acara himpunan motosikal terbesar di Malaysia, Program RXZ Members Edisi Kelapan (RXZ Members 8.0) pada tahun ini sememangnya menjadi perhatian ramai.
Manakan tidak, sebanyak 11 kematian dan 46 kemalangan direkodkan sepanjang tempoh ia berlangsung dari 30 Julai sehingga 2 Ogos.
Ekoran itu, satu pertemuan telah diadakan pada 12 Ogos di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak penganjur berhubung isu terbabit.
JPJ Arah Penganjur Sediakan Platform Pendaftaran Online, Peserta Wajib Daftar & Muat Naik Gambar Motosikal
Terbaharu, JPJ telah mengarahkan penganjur Program RXZ Members untuk menyediakan platform pendaftaran secara dalam talian buat peserta program berkenaan dan wajib mematuhi beberapa syarat.
Ia bertujuan bagi memastikan aspek keselamatan dan undang-undang diberi keutamaan.
Perkara itu diputuskan dalam Sesi Libat Urus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama penganjur RXZ Members di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, semalam (12 Ogos).
Menurut Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, antara syarat yang diwajibkan yang perlu dipatuhi adalah peserta mesti mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau turut digelar roadtax serta insurans yang masih berkuat kuasa.
Malah, peserta juga perlu melampirkan empat gambar motosikal yang didaftarkan iaitu:
- Gambar bahagian depan motosikal
- Gambar bahagian belakang motosikal
- Bahagian belakang nombor pendaftaran kenderaan
- Gambar sisi kiri dan kanan motosikal
JPJ Turut Cadang Laksanakan Pengurusan Risiko Dengan Lebih Sistematik
Selain syarat wajib itu, perkara lain yang turut diberi penekanan adalah mengenai keperluan pelaksanaan pengurusan risiko yang lebih sistematik pada sebelum, semasa dan selepas program.
“Ini termasuk aspek kelayakan pemandu dan kenderaan, kawalan pergerakan, pelaksanaan penguatkuasaan secara strategik dengan memberi keutamaan kepada kesalahan yang berisiko tinggi terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.
“Peserta juga diminta dapat bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) bagi membantu melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
JPJ Turut Syorkan Pendekatan Secara Berperingkat
Tambah Muhammad Kifli lagi, pihaknya turut mengesyorkan pendekatan secara berperingkat iaitu libat urus awal, pendidikan dan kesedaran sebelum tindakan penguatkuasaan yang tegas jika perlu.
“Kerjasama erat antara penganjur, JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi teknikal berkaitan juga penting bagi memastikan penganjuran acara berlangsung secara teratur, selamat dan bertanggungjawab,” ujarnya.
JPJ Sentiasa Sokong Aktiviti Permotoran, Keselamatan & Perlindungan Nyawa Jadi Keutamaan
Jelas Muhammad Kifli, pertemuan itu menjadi platform untuk membincangkan aspek keselematan jalan raya dan langkah penambahbaikan dalam pengurusan risiko khususnya bagi penganjuran acara himpunan motosikal yang berskala besar.
JPJ sentiasa menyokong aktiviti permotoran yang dilaksanakan secara teratur serta bertanggungjawab.
“Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan. JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan penganjur pada masa akan datang,” katanya.
Selain pengurusan JPJ dan penganjur RXZ Members, sesi libat urus itu turut dihadiri oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Untuk info, Program RXZ Members 8.0 disifatkan sebagai edisi yang paling mendapat sambutan kerana berjaya menghimpunkan lebih 200,000 peserta sejak penganjurannya pada tahun 2017.
Namun di sebalik kejayaan penganjurannya, sebanyak 11 kematian melibatkan penunggang motosikal direkodkan dari 30 Julai sehingga 2 Ogos.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, sebanyak 46 kes kemalangan juga dicatatkan sepanjang tempoh sama.
Baca Artikel Berkaitan: RXZ Members 8.0, Program Himpunan Yang Lebih Banyak Mudarat – Bekas Mufti Terengganu
Baca Artikel Berkaitan: “Yang Bermula Pasti Akan Berakhir” – Penganjur Beri Bayangan, RXZ Members Akan Berakhir Pada Edisi Ke-10
Baca Artikel Berkaitan: RXZ Members 8.0: Tiada Roadblock, Polis Guna Kaedah Risikan & Rakaman Video Sebagai Bukti Sebelum Ambil Tindakan






