TUMPAT - Penduduk yang mendakwa menerima ugutan daripada sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan sempadan Kelantan diminta tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan penguatkuasaan dijalankan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya memandang serius dakwaan ancaman terhadap penduduk tempatan, namun siasatan sukar dijalankan sekiranya mangsa tidak membuat laporan rasmi.
Menurut beliau, tindakan mendedahkan ancaman melalui media sosial semata-mata tidak membantu polis mengenal pasti pelaku dan melaksanakan siasatan secara menyeluruh.
"Kalau mereka menerima ugutan dan sebagainya, perlu tampil kepada pihak polis untuk membuat laporan supaya kita boleh menjalankan siasatan, mengenal pasti pelaku dan seterusnya membuat tangkapan.
"Kalau hanya disebarkan melalui media sosial, bagaimana kita hendak menjalankan siasatan?," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di sini serta Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024.
Media pada Rabu melaporkan penduduk di pesisir pantai Kelantan mendakwa diugut dengan senjata api oleh individu dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia bagi menghalang mereka mendedahkan kegiatan haram itu.
Dakwaan berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat apabila pendatang tanpa dokumen perjalanan yang sah dikatakan dibawa naik ke darat hampir setiap malam melalui sungai, jeti dan kawasan pantai terpencil.
Mohd Yusoff memberitahu, penduduk tidak perlu terlalu bimbang untuk tampil memberikan maklumat kerana mereka akan dilindungi.
Ujarnya, kemudahan di bawah Akta Perlindungan Saksi boleh membantu melindungi pemberi maklumat atau saksi dalam kes tertentu, termasuk sepanjang proses siasatan dan prosiding mahkamah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, penggunaan laluan laut dipercayai menjadi antara pendekatan baharu sindiket selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup dan dirobohkan.
Jelasnya, keluasan perairan di sempadan Pengkalan Kubor yang berhadapan negara jiran menjadikan usaha mengesan pergerakan sindiket bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi dengan keterbatasan keupayaan peralatan pemantauan.
"Apabila kita melalui laut, kita dapat melihat sendiri betapa luasnya kawasan perairan ini. Kita hanya nampak laut dan langit, manakala penghujungnya pun tidak kelihatan.
"Bukan mudah untuk mengawal kawasan laut, tambahan pula peralatan yang ada mempunyai had keupayaan untuk mengesan pergerakan di perairan," katanya.
Ujar beliau, pihak polis sebelum ini telah menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan, namun laporan khusus berhubung ugutan terhadap penduduk masih diperlukan bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi supaya tindakan lebih berkesan dapat dilaksanakan terhadap sindiket terbabit.






