HUBUNGAN perdagangan dan diplomatik antara Malaysia dan Korea Selatan terus diperkukuh menerusi penganjuran Pesta Makanan K-Halal ASEAN 2026 oleh Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation, yang membuka lembaran baharu dalam industri halal serantau.
Majlis perasmian acara berskala besar yang pertama seumpamanya di rantau ASEAN itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Chan Foong Hin di pusat membeli-belah terkemuka 1Utama di sini pada Jumaat.
Foong Hin dalam ucapan perasmiannya menyatakan rasa bangga kerana Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi acara berprestij itu, sekali gus mengiktiraf kedudukan negara sebagai hab halal global yang dipercayai di peringkat antarabangsa.
"Penganjuran pesta makanan ini bukan sekadar memperkenalkan hidangan, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh semula kedudukan Malaysia sebagai simbol dan pusat pautan bagi industri halal ASEAN," katanya.
**media[3529452]**
Hadir sama, Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, TYT Yeo Seung-bae; Pengarah Urusan Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) Pejabat Kuala Lumpur, Shin Ju-hyun; Pengerusi Pusat Membeli-belah 1 Utama, Tan Sri Teo Chiang Kok; Pengerusi Kumpulan KMT, Datuk Matthew Lee; Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng, serta pasangan pempengaruh selaku Duta Kehormat K-Food ASEAN, Riza dan Maryam daripada Durian Kimchi.
Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, penerimaan baik rakyat Malaysia terhadap makanan Korea didorong oleh pengaruh budaya Korea seperti drama dan muzik K-Pop yang mula bertapak di negara ini sejak awal tahun 2000.
Keadaan ini menyaksikan premis makanan dan kedai serbaneka Korea berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan di pelbagai bandar, menjadikan masakan Korea sebahagian daripada gaya hidup harian masyarakat tempatan.
**media[3529453]**
Jelas beliau, KPKM komited dalam memastikan penyediaan makanan yang selamat dan berkualiti tinggi kepada rakyat melalui pengukuhan keterjaminan makanan, pertukaran teknologi pertanian maju, serta peluasan rangkaian pengedaran produk agro-makanan.
Langkah ini juga katanya, bagi menggalakkan pemain industri tempatan mengekalkan piawaian tertinggi termasuk pensijilan halal untuk bersaing di peringkat global.
"Pada masa hadapan, kementerian akan terus memberikan sokongan dasar dan kerjasama bagi memastikan syarikat agromakanan Korea yang cemerlang dapat mengembangkan sayap ke pasaran ASEAN melalui rantaian bekalan Malaysia yang stabil," tambah beliau.
**media[3529455]**
Dalam pada itu, Foong Hin turut menggesa pasaran Korea Selatan untuk membuka ruang yang lebih luas bagi kemasukan eksport durian dari Malaysia, khususnya varieti premium seperti musang king dan duri hitam atau black thorn.
Beliau berharap rakyat Korea dapat mempelajari kaedah menikmati raja buah tersebut memandangkan statistik semasa menunjukkan masih banyak ruang pertumbuhan eksport yang boleh diterokai.
Beliau juga mengalu-alukan komitmen Korea Selatan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Ogos depan.
Pameran dwitahunan anjuran KPKM itu bakal menjadi medan utama dalam memamerkan teknologi pertanian dan ekosistem berkaitan di Malaysia.





