‘Pesta’ Makanan Sarawak di Tengah Kota Kuala Lumpur

Food
21 May 2023 • 8:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Umai Udang Kampung Oya. - Gambar dari Aloft Hotel Kuala Lumpur Sentral

Apabila berbicara tentang makanan Sarawak, apa makanan yang terlintas di fikiran anda? Selalunya, ramai yang menyebut tentang mee kolok, Laksa Sarawak, kek batik, kek lumut dan juga aiskrim gula apong. 

Hidangan ini pasti menjadi buruan apabila menjejakkan kaki ke bumi yang terkenal dengan burung Kenyalang itu.

Namun begitu, menjejak hidangan asli Sarawak bukanlah tidaklah sesusah mana pun. Ada banyak restoran yang mula menghidangkan menu ini dek popularitinya. 

Terbaharu, restoran Nook, Aloft Kuala Lumpur Sentral mempersembahkan bufet ‘Flavours Of Sarawak’ yang membawa anda ke pengembaraan kulinari bagi meraikan perayaan yang sinonim dengan musim menuai, Gawai Dayak.

image is not available
Chef Elossa

Diterajui oleh anak jati Sarawak, Chef Elossa, menu festival ini menawarkan gabungan yang mewah dengan perisa tradisional Sarawak, termasuk hidangan utama Laksa Sarawak, mee kolok, dan hidangan yang tidak boleh disisihkan, Manok Pansoh yang dimasak dalam buluh untuk menghasilkan isi ayam yang lembut, berjus dan beraroma membangkitkan selera.

Mana mungkin anda berkata tidak apabila terhidu ‘keharuman’ hidangan tradisional ini. 

image is not available
Manok Pansoh

Tidak cukup dengan itu, ada juga Ikan Terubuk masin goreng yang rangup, menampilkan profil rasa yang lazat. Kulitnya yang rangup membuatkan sesiapa sahaja ‘ketagih’.

Cukup sempurna jika dinikmati dengan sepinggan nasi hangat atau nasi goreng pedas. 

image is not available
Perkasam Ikan Sultan

Teruskan pengembaraan memuaskan nafsu anda dengan Ayam Lada Hitam Sarawak dengan sos berkrim Dabai, Umai Udang Kampung Oya, ikan rebus serai bersama Daun Singkil, Nasi Goreng Aruk, ayam masak kacangma, terung asam tumis belacan, dan tidak ketinggalan Ikan Salai Lumek bersama terung asam. 

image is not available
Mi kolok

Selain itu, bufet Flavors of Sarawak ini turut menampilkan pelbagai pilihan menu antarabangsa. Cubalah mengintai ke stesen atau kaunter yang menyediakan pasta dan pizza secara langsung.

Pasti ada yang menarik perhatian seperti seafood ragout casserole, chicken roulade, dan piza perisa Laksa Sarawak. Selain itu, ada juga hidangan kegemaran rakyat Malaysia seperti sate ayam dan lembu, serta ayam masak merah.

image is not available
Nasi goreng dabai

Hilangkan dahaga anda dengan minuman istimewa Sarawak seperti Teh C Peng dan ‘White Lady,’ ramuan ais kisar dengan susu sejat, sirap, campuran bahan seperti laici, longan, jeli dan hirisan buah-buahan tempatan.

Sebelum mengakhiri makan malam, manjakan diri dengan pelbagai pemanis mulut yang sudah semestinya menampilkan bintang utamanya, Kek Lapis Sarawak berwarna-warni, Kek Batik Coklat dan kek lumut. 

image is not available
Kek lapis dan kek lumut

Jangan ketinggalan mencuba snek unik seperti Tebaloi yang diperbuat daripada campuran tepung sagu, telur, kelapa kering, kunyit dan gula. Ada juga Tumpik, lempeng Melanau yang dihasilkan daripada sagu, kelapa kering, dan garam, dan dihidangkan bersama Gula Apong.

Setiap pencuci mulut direka dengan teliti untuk memikat selera anda.

image is not available
Tumpik

Flavours of Sarawak ini berharga RM148 bersih untuk dewasa dan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun layak mendapat diskaun 50 peratus.

Hanya tersedia pada setiap Khamis hingga Sabtu sehingga 10 Jun hadapan, bermula jam 6:00 petang hingga 10:00 malam. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang promosi ini, anda boleh menghubungi talian 03 2723 1154  atau emailkan ke kukal.b&f@alofthotels.com. - Getaran, 21 Mei 2023