Pestec berdepan isu audit projek di Iraq babitkan aset kontrak RM50.31 juta

WorldBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 9:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pestec berdepan isu audit projek di Iraq babitkan aset kontrak RM50.31 juta Image from: Pestec berdepan isu audit projek di Iraq babitkan aset kontrak RM50.31 juta liza04/08/2026 - 09:47 PEMANDANGAN pusat bandar raya Baghdad yang merupakan ibu negara Iraq. - Foto AFP Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Pestec International Bhd berdepan isu audit membabitkan aset kontrak bernilai RM50.31 juta bagi projek di Iraq selepas konflik di Timur Tengah menjejaskan proses pengesahan kemajuan projek tersebut.

 

Juruaudit luar syarikat, Nexia SSY PLT, mengeluarkan pendapat berkelayakan (qualified opinion) terhadap penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 kerana tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi untuk memastikan sama ada aset kontrak tersebut perlu dikenakan susut nilai.

 

Menurut syarikat, projek pencawang elektrik di Baghdad itu telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 86.73%, namun konflik yang semakin meruncing di rantau berkenaan menyebabkan lawatan ke tapak projek tidak dapat diteruskan seperti dirancang.

 

Keadaan itu turut menjejaskan proses pengesahan kemajuan kerja serta kelewatan penghantaran tuntutan bayaran (progress billings) kepada pelanggan yang menimbulkan ketidakpastian terhadap nilai aset kontrak yang direkodkan dalam penyata kewangan syarikat.

 

Nexia SSY berkata mereka berjaya memperoleh bukti audit yang mencukupi berkaitan tahap kemajuan, kewujudan dan pengukuran projek di Iraq, namun keadaan semasa di Timur Tengah menimbulkan ketidakpastian yang signifikan terhadap nilai aset kontrak tersebut.

 

Juruaudit Tidak Dapat Sahkan Nilai Aset

Menurut Nexia SSY, mereka tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi bagi memastikan sama ada aset kontrak itu boleh dipulihkan sepenuhnya atau memerlukan peruntukan susut nilai.

 

"Pihak kami tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi dan bersesuaian berhubung sama ada aset kontrak tersebut memerlukan peruntukan susut nilai serta jumlah yang sepatutnya diiktiraf, selain tiada prosedur audit alternatif yang memuaskan dapat dilaksanakan," katanya.

 

Pada 2023, Pestec mengumumkan syarikat usaha samanya bersama China Energy Engineering Group Tianjin Electric Power Construction Co. Ltd. memperoleh kontrak bernilai AS$81.77 juta (RM372.78 juta) daripada kerajaan Iraq bagi membina sebuah pencawang elektrik di Baghdad.

 

Bagaimanapun, syarikat tidak merekodkan sebarang peruntukan susut nilai terhadap aset kontrak tersebut dalam penyata kewangannya.

 

Situasi itu menyebabkan juruaudit tidak dapat mengesahkan sama ada nilai aset yang direkodkan masih mencerminkan keadaan sebenar susulan gangguan terhadap pelaksanaan projek.

 

Sasar Selesai Dalam Tempoh Enam Bulan

Bagi menangani isu berkenaan, Pestec berkata pihaknya akan terus menilai kedudukan aset kontrak itu, berhubung secara berkala dengan pemilik projek serta memantau perkembangan geopolitik di Timur Tengah.

 

Syarikat menjangkakan perkara tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan akan datang, tertakluk kepada keadaan keselamatan yang kembali stabil termasuk ketegangan serantau dan pemulihan keadaan yang membolehkan projek di Iraq diteruskan seperti biasa.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved