liza03/08/2026 - 18:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos – Nestcon Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Nestcon Builders Sdn Bhd (NBSB), memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM74.52 juta daripada EXSIM MX4 Sdn Bhd bagi membina sebuah blok pangsapuri mampu milik setinggi 28 tingkat di Kwasa Damansara, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Nestcon berkata projek tersebut melibatkan pembinaan satu blok pangsapuri mampu milik setinggi 28 tingkat dengan nilai kontrak berjumlah RM74,52 juta.
“Kerja-kerja pembinaan akan bermula pada 3 Ogos 2026 dan dijadualkan siap dalam tempoh 29 bulan, menjadikan tarikh siap keseluruhan projek pada 2 Januari 2029.
“Tempoh liabiliti kecacatan bagi projek itu pula ditetapkan selama 27 bulan bermula dari tarikh Sijil Siap Praktikal (CPC) dikeluarkan, selain NBSB perlu melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut syarat serta terma tambahan yang ditetapkan dalam surat anugerah tersebut,” katanya.
Dijangka Menyumbang Kepada Prestasi Kumpulan
Menurut Nestcon, penerimaan kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta tahap penggearan (gearing) syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Syarikat itu turut memaklumkan tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang lazim dikaitkan dengan pelaksanaan kontrak pembinaan seumpama itu.
Bagaimanapun, pihak syarikat berkata langkah-langkah sewajarnya akan diambil bagi mengurangkan sebarang risiko yang mungkin timbul sepanjang pelaksanaan projek tersebut. - DagangNews.com





