liza31/07/2026 - 17:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd (SIBS) memperoleh subkontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM11.9 juta bagi kerja menaik taraf sistem penyaman udara di Universiti Malaysia Sabah (Unimas).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SCIB berkata kontrak tersebut melibatkan cadangan menaik taraf sistem penyaman udara di Bangunan Fakulti Kejuruteraan Unimas di bawah Fasa 1, Pakej 8 program pembangunan universiti itu.
“SIBS dilantik sebagai subkontraktor oleh Demi Cerah Construction Sdn Bhd bagi melaksanakan projek yang dijadual bermula pada 1 Ogos 2026 dan dijangka siap pada 3 Julai 2027.
“Kontrak terbaharu itu mengukuhkan lagi saluran projek syarikat di Sarawak, selain membuktikan keupayaan Kumpulan melaksanakan projek institusi dan infrastruktur awam yang memerlukan kepakaran teknikal menerusi keupayaan EPCC,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men berkata keupayaan dalam bidang kejuruteraan, perolehan dan pembinaan membolehkan SCIB menyiapkan projek secara cekap sambil mengekalkan standard kualiti serta pelaksanaan yang tinggi.
"Kerja-kerja menaik taraf ini memerlukan penyelarasan rapi merangkumi aspek kejuruteraan, perolehan dan pelaksanaan di tapak, iaitu bidang yang terus diperkukuh oleh kumpulan menerusi pengalaman dan keupayaan pelaksanaannya.
“Kemudahan institusi seperti universiti memerlukan sistem bangunan yang cekap dan boleh dipercayai bagi menyokong operasi harian, justeru SCIB berbangga dapat menyumbang kepakaran teknikal dalam menaik taraf kemudahan kejuruteraan Unimas.
“Projek berkenaan turut membantu memperkukuh saluran projek berkualiti syarikat, sekali gus menyokong pertumbuhan perniagaan secara berterusan,” katanya. - DagangNews.com






