hamden20/08/2026 - 17:59 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pestec International Bhd memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa bekas anggota pengurusan syarikat serta dua pembekal, Shandong Power Equipment Co Ltd (SPECO) dan Shandong Electrical Engineering & Equipment Group Co (SDEE), berhubung dakwaan penipuan, salah nyata secara fraud dan konspirasi.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, saman sivil itu melibatkan dakwaan transaksi yang sangat meragukan, invois yang dinaikkan nilainya serta bayaran berlebihan yang dibuat Pestec kepada SPECO dan/atau SDEE.
Pestec berkata, tuntutan berkenaan turut membabitkan beberapa ketidakaturan dalam dokumen sokongan serta penggunaan yang didakwa melibatkan Jaminan Korporat Induk yang tidak bertarikh dan tidak mendapat kebenaran, yang digunakan bagi mengenakan liabiliti terhadap syarikat dan menyokong tuntutan bayaran SPECO.
Syarikat turut memohon pengisytiharan dan/atau perintah mahkamah bagi menentukan kesahihan serta kebolehkuatkuasaan Jaminan Korporat Induk yang didakwa ditandatangani oleh seorang bekas anggota pengurusan terdahulu dan bekas setiausaha Syarikat di bawah meterai Syarikat.
Menurut Pestec, jaminan tersebut didakwa ditandatangani tanpa kelulusan Lembaga Pengarah terdahulu, seperti yang dikehendaki di bawah Perlembagaan Syarikat.
Laporan Polis
Sebelum saman sivil itu difailkan, Pestec turut membuat laporan polis susulan penemuan dalaman berkaitan ketidakaturan dan percanggahan yang dikenal pasti.
Ia termasuk perkara berkaitan Jaminan Korporat Induk yang didakwa tersebut serta penglibatan beberapa bekas anggota pengurusan Syarikat, SPECO dan/atau SDEE.
Pihak polis telah mengesahkan bahawa siasatan terhadap perkara berkenaan sedang dijalankan.
Pestec berkata pemfailan saman sivil dan laporan polis itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kumpulan untuk melindungi kepentingannya serta menentukan hak undang-undangnya berhubung Jaminan Korporat Induk yang didakwa dan transaksi yang mendasarinya.
Pestec tidak menjangkakan saman itu memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan dan operasi Syarikat, selain kos serta perbelanjaan guaman berkaitan prosiding berkenaan. Saman itu difailkan pada 20 Ogos 2026. - DagangNews.com





