Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengambil tindakan saman terhadap penyanyi rap, Caprice berhubung dakwaan menerima rasuah dalam satu projek swasta.
Presiden Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata, tindakan undang-undang berkenaan telah difailkan lebih awal dan kini masih dalam prosiding mahkamah.
“Februari lalu, Caprice juga menjaja cerita kononnya saya makan rasuah dalam satu projek swasta yang tidak ada kena mengena dengan saya atau kementerian saya dahulu.
“Dia panggil sidang media mengumumkan yang dia saman saya dan ketika itu ramai mengejek kononnya saya tidak berani saman Caprice.
“Sebenarnya sudah lama saya saman Caprice atas tuduhan itu, cuma tidak cakap dan kes sedang berjalan di mahkamah ketika ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Februari lalu, pempengaruh media sosial itu dilaporkan memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi dan menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, tindakan itu dibuat susulan kegagalan bekas Timbalan Presiden PKR berkenaan memohon maaf serta menurunkan hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi tuduhan berbaur fitnah terhadapnya.
Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan saman terhadap Caprice merupakan tindakan pertama yang diambilnya terhadap individu yang didakwa memfitnah beliau.
Malah, sepanjang berpuluh tahun terbabit dalam politik termasuk berdepan lawan seperti UMNO dan Pas, beliau berkata tidak pernah dituduh menerima rasuah.
“Ini kali pertama saya saman seseorang. Sebelum ini, macam-macam orang fitnah atau tuduh, saya jawab dan tidak saman sebab kebanyakan daripada mereka ini rakyat biasa, jadi saya serahkan kepada ALLAH.
“Jadi saya tiada pilihan dan terpaksa saman untuk kali pertama dalam hidup.
“Sekarang kita serahkan kepada peguam-peguam dan proses mahkamah,” ujarnya.
Sumber: FB Rafizi Ramli






