
PENYERANG skuad kebangsaan, Fergus Tierney berharap pencapaian Harimau Malaya menutup tirai Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kemenangan menjadi simbol kebangkitan sekali gus kembali membanggakan peminat tanah air.
Pada aksi penentuan tempat ketiga di Jakarta kelmarin, penyerang muda itu muncul wira apabila meledak gol kemenangan untuk menewaskan Vietnam 1-0, sekali gus menamatkan badi tanpa kemenangan ke atas skuad Naga Emas itu.
Menurut Tierney, kejayaan positif itu menjadi ganjaran kecil buat seluruh pasukan selepas melalui tempoh dua minggu yang cukup mencabar sepanjang berada di Indonesia.
“Kami memberikan segala-galanya pada semua perlawanan dan ini adalah dua minggu yang panjang.
“Barisan kejurulatihan bekerja keras untuk buat persiapan, pemain juga sama dan saya fikir kami mendapat sedikit ganjaran atas segala usaha itu.
“Kami semua boleh berbangga dengan diri sendiri dan saya harap rakyat Malaysia juga berbangga dengan kami,” katanya.
Sementara itu, pemain kelab Cyprus, PAC Omania 29M itu berharap prestasi positif yang ditampilkan pada kempen kali ini dapat mengukuhkan tempat dalam skuad senior Hairmau Malaya.
“Ini pengalaman yang hebat. Sudah lama saya tidak bersama pasukan kebangsaan senior, jadi ia sentiasa menjadi satu penghormatan untuk mewakili Malaysia,” kata pemain berusia 23 tahun itu.
The post Petanda kebangkitan Harimau Malaya appeared first on Kosmo Online.






