
Kota Kinabalu: Seorang petani berusia 52 tahun yang membunuh bapa saudaranya sebelum membakar mayat mangsa susulan perselisihan faham berkaitan tanah keluarga, dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa.
Hakim Datuk Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman itu terhadap Joe Fredin Taip selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh Hussein Sodomon, 68.
Kesalahan itu dilakukan antara 16 hingga 18 April 2024 di kawasan hutan di belakang sebuah rumah di Kampung Kipaliu, Ranau.
Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kesalahan membunuh boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika hukuman mati tidak dikenakan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
Bagaimanapun Joe dikecualikan daripada hukuman sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.
Ketika rayuan meringankan hukuman, peguam yang dilantik, Yong Pei Yi memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dengan alasan tertuduh mengaku bersalah, menunjukkan penyesalan serta mengakui kekesalan mendalam kerana meragut nyawa mangsa.
Yong berkata Joe juga merupakan pesalah kali pertama tanpa rekod keganasan atau sabitan jenayah sebelum ini menunjukkan perbuatannya itu di luar kebiasaan.
Beliau turut memaklumkan laporan bedah siasat tidak dapat menentukan punca kematian mangsa manakala polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam kejadian itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dengan mengambil kira beberapa faktor yang memberatkan dalam kes berkenaan.
Beliau berkata tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan menjadikan perbuatan itu satu pengkhianatan serius terhadap kepercayaan dan ikatan kekeluargaan.
“Nyawa seseorang terkorban secara tragis hanya kerana pertikaian tanah, sedangkan isu sedemikian sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk meragut nyawa orang lain.
“Keadaan kesalahan ini amat memburukkan apabila tertuduh bukan sahaja mencederakan mangsa dengan memukulnya menggunakan sebatang kayu malah membakar mayat mangsa berulang kali selama beberapa hari bagi memastikan jasad serta bukti yang boleh mengaitkannya dengan jenayah itu musnah sepenuhnya,” katanya.
Dacia berkata tindakan itu menunjukkan kekejaman kesalahan berkenaan serta usaha tertuduh menyembunyikan jenayahnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan awam perlu menjadi pertimbangan utama dalam menentukan hukuman setimpal bagi mencerminkan keseriusan kesalahan serta memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Katanya pertikaian tanah bukan perkara luar biasa di Sabah namun ia tidak seharusnya diselesaikan melalui keganasan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
Mahkamah dimaklumkan pada 15 April 2024, Joe pergi ke pondok mangsa dengan membawa sebatang kayu yang diambil dari rumah jiran selepas berlaku pertikaian berkaitan tanah keluarga.
Setibanya di pondok itu Joe memukul beberapa kali bahagian belakang kepala mangsa menggunakan kayu berkenaan.
Mangsa menjerit kesakitan dan cuba melarikan diri sebelum terjatuh berhampiran pondok. Joe kemudian menyeret mangsa yang tidak sedarkan diri menggunakan kakinya ke kawasan semak berhampiran sebelum menutup tubuh mangsa dengan daun dan ranting.
Pada 16 April 2024, Joe kembali ke kawasan hutan dengan membawa tali, pemetik api dan beberapa potongan tiub dalam getah yang dipotong.
Dia mengikat kaki mangsa menggunakan tali sebelum menyeret mayat ke kawasan hutan di belakang sebuah rumah di Kampung Kipaliu, Ranau lalu membakarnya.
Pada 17 April, Joe mengulangi perbuatan itu selepas mendapati mayat mangsa masih belum musnah sepenuhnya.
Keesokan harinya, dia kembali ke kawasan berkenaan dan mendapati hanya abu serta serpihan tulang yang tinggal. Joe kemudiannya mengumpulkan sisa berkenaan sebelum pulang ke rumah.
Joe turut terserempak dengan seorang lelaki yang sedang mencari mangsa yang telah beberapa hari dilaporkan hilang.
Tertuduh kemudian memberitahu lelaki itu: “Batalkan rancangan membina rumahnya. Tiada siapa akan tinggal di situ. Dia sudah pergi jauh,” merujuk kepada mangsa.
Kira-kira jam 3 petang pada hari sama, anak saudara mangsa, Mohd Hafiz yang turut mencari bapa saudaranya menemui abu dan serpihan yang disyaki tulang manusia di kawasan hutan berkenaan sebelum membuat laporan polis.
Pemeriksaan bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) menemukan sebanyak 676 serpihan tulang yang konsisten dengan sisa rangka manusia tidak lengkap daripada seorang individu.
Serpihan itu merangkumi bahagian tengkorak, tulang muka, gigi, tulang belakang, tulang rusuk, pelvis serta anggota badan.
Keadaan serpihan yang rapuh, berwarna putih kelabu dan berubah bentuk konsisten dengan pendedahan kepada suhu tinggi dalam tempoh berpanjangan.
Tisu lain pula telah musnah menjadi arang dan abu.
Keadaan sisa rangka yang mengalami kerosakan teruk menyebabkan pakar tidak dapat menentukan kecederaan serta punca kematian mangsa atau menjalankan analisis perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).
Bagaimanapun fakta kes menunjukkan tindakan Joe membuktikan niatnya untuk menyebabkan kematian mangsa serta melupuskan mayat bagi menyembunyikan jenayah berkenaan.






