‘Peti sejuk manusia’ bantu lindungi pekerja daripada gelombang haba

TechnologyEnvironment
15 Aug 2026 • 9:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Peti sejuk manusia’ bantu lindungi pekerja daripada gelombang haba

TOKYO: Pengeluar mesin layan diri Jepun, SDRS membangunkan peti sejuk bersaiz manusia daripada keluli tahan karat bagi membantu mencegah strok haba ketika musim panas semakin terik akibat perubahan iklim.

Produk dikenali sebagai Do Hiemon Box itu berfungsi sebagai ruang penyejukan untuk seorang individu, dengan saluran khas yang menghembus udara sejuk pada suhu serendah lima darjah Celsius, sama seperti suhu ruang pendingin dalam peti sejuk.

Pembekal peralatan industri, Trusco Nakayama yang menjual produk berkenaan berkata, ruang penyejukan itu mampu membantu mengurangkan risiko strok haba hanya dalam tempoh 20 minit, selain menggunakan kira-kira separuh tenaga berbanding penghawa dingin mudah alih biasa.

Syarikat itu menyifatkan kotak keluli tahan karat berpenebat berkenaan sebagai ‘peti sejuk manusia’, dengan ketinggian dalaman 1.75 meter dan tempat duduk sempit yang direka untuk memuatkan seorang individu.

Udara sejuk disalurkan menerusi lubang pengudaraan di bahagian atas dan belakang ruang berkenaan, manakala pengguna boleh memilih daripada tiga tahap tetapan bagi melaraskan suhu serta aliran udara.

Dilengkapi roda dan hanya memerlukan sambungan kepada soket elektrik biasa, ruang penyejukan itu mudah dialihkan untuk digunakan oleh pekerja pembinaan dan kilang, selain pengunjung di acara-acara luar, bagi mendapatkan kelegaan pantas daripada cuaca panas.

Trusco Nakayama berkata, produk itu direka untuk memberikan penyejukan seluruh badan, berbeza dengan jaket berkipas yang lazim digunakan pekerja luar di Jepun, termasuk kakitangan Pavilion NTT pada Ekspo Osaka tahun lalu.

Produk itu diperkenalkan ketika Jepun berdepan peningkatan kes strok haba yang membimbangkan, sehingga pakar meteorologi negara berkenaan memperkenalkan istilah baharu, ‘kokushobi’.

Istilah yang bermaksud hari panas yang kejam itu digunakan apabila suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius.

Bulan lalu, Jepun mencatatkan tempoh luar biasa apabila suhu kekal pada tahap kokushobi selama lima hari berturut-turut.

Keadaan itu menyebabkan 453 orang dimasukkan ke hospital di Tokyo dalam tempoh sehari.

Gelombang haba itu turut meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa di seluruh Jepun.-AGENSI

The post ‘Peti sejuk manusia’ bantu lindungi pekerja daripada gelombang haba appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved