Petinju Ireland meninggal dunia selepas koma sejak Ogos

17 Nov 2026 • 6:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Petinju Ireland meninggal dunia selepas koma sejak Ogos
Lee Reeves. - Agensi

PETINJU Ireland, Lee Reeves meninggal dunia selepas gagal pulih daripada kecederaan yang dialaminya ketika perlawanan tinju pada Ogos lepas, lapor PA Media/dpa.

Reeves, 31, ditidurkan secara perubatan (induced coma) dan menjalani pembedahan kecemasan selepas ditumbangkan pada pusingan ke-10 dalam perlawanan tinju kategori junior welterweight menentang Gary Cully di Dublin pada 1 Ogos

Penganjur tinju Queensberry mengesahkan kematian Reeves menerusi kenyataan di platform media sosial X.

"Seluruh warga Queensberry berasa hancur luluh menerima berita pemergian Lee Reeves. Lee merupakan seorang petinju yang sangat berbakat, selain menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi kepada komunitinya.

"Kami merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan serta semua yang menyayanginya. Kami meminta agar privasi mereka dihormati dalam saat yang amat sukar ini. Bersemadilah dengan tenang, Lee," menurut kenyataan itu.

Reeves memenangi 16 daripada 18 perlawanan sejak menjadi petinju profesional pada 2018, termasuk beberapa perlawanan yang berlangsung di Kanada dan Colombia.

Cully turut memberikan penghormatan kepada Reeves menerusi hantaran di Instagram dengan menulis: "Kami pernah bertarung di gelanggang pada Ogos lalu, tetapi kami sudah saling mengenali sejak bertahun-tahun lamanya.

"...sukar untuk saya percaya bahawa saya sedang menulis ucapan ini, tetapi bersemadilah dengan tenang saudaraku. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved