Petra Energy sambung semula pengeluaran minyak Banang di perairan Terengganu selepas 15 bulan henti operasi

LocalBusiness & Finance
11 May 2026 • 12:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Petra Energy sambung semula pengeluaran minyak Banang di perairan Terengganu selepas 15 bulan henti operasi Image from: Petra Energy sambung semula pengeluaran minyak Banang di perairan Terengganu selepas 15 bulan henti operasi liza11/05/2026 - 12:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Mei – Petra Energy Bhd telah menyambung semula operasi pengeluaran minyak di medan Banang, luar pesisir Terengganu pada April 2026 selepas dihentikan sementara selama 15 bulan sejak Januari 2025.

 

Penggantungan operasi itu dilakukan susulan kerja wajib ‘dry docking’ terhadap unit pengeluaran minyak luar pesisir mudah alih (MOPU) Petra Orion yang digunakan di medan berkenaan.

 

Penangguhan tersebut melibatkan keseluruhan operasi pengeluaran bagi memastikan kerja penyelenggaraan besar dapat dilaksanakan dengan selamat dan mengikut piawaian teknikal.

 

Skop kerja ‘dry docking’ termasuk pengukuhan struktur sokongan kepala telaga (wellhead support structure - WSS), penutupan telaga serta pemisahan MOPU daripada sistem pengeluaran di medan Banang.

 

 

 

 

 

Syarikat turut melaksanakan sistem pengukuhan sementara menggunakan kabel sauh bagi membolehkan WSS berfungsi sebagai struktur berdiri bebas sepanjang tempoh peralihan operasi.

 

Langkah kejuruteraan tersebut membolehkan proses penurunan MOPU Petra Orion dilakukan dengan selamat pada Mei 2025 tanpa menjejaskan integriti struktur di lapangan.

 

Selepas proses itu, MOPU berkenaan ditanggalkan dan ditunda ke limbungan Malaysia Marine and Heavy Engineering di Pasir Gudang untuk kerja pembaikan dan penyelenggaraan lanjut.

 

Unit tersebut tiba di limbungan pada Jun 2025 bagi menjalani kerja *dry docking* yang telah dijadualkan termasuk pemeriksaan dan baik pulih menyeluruh.

 

Sepanjang tempoh peralihan operasi, sistem pemantauan telaga masa nyata berkuasa solar telah dipasang di medan Banang bagi memastikan keselamatan operasi kekal terkawal.

 

Lampu navigasi turut dipasang bagi menjamin keselamatan persekitaran laut dan mengelakkan risiko terhadap struktur serta pergerakan kapal di kawasan operasi.

 

Dalam perkembangan berkaitan, anak syarikat Petra Energy Development Sdn Bhd (PEDSB) telah dianugerahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Aset Fasa Akhir (LLA) medan Banang oleh PETRONAS pada Jun 2024.

 

Kontrak itu memberikan PEDSB hak operasi penuh dengan pegangan 100 peratus bagi medan Banang untuk tempoh 10 tahun bermula 1 Jun 2024.

 

Sebelum itu, PEDSB telah terlibat dalam operasi medan Banang sejak 2012 melalui kerjasama bersama Coastal Energy KBM Sdn Bhd bagi kelompok Kapal, Banang dan Meranti.

 

Pada Jun 2020, operasi tersebut beralih kepada perjanjian perkhidmatan teknikal, di mana PEDSB bertindak sebagai operator bagi pihak PETRONAS.

 

Dari segi prestasi pengeluaran, medan Banang mencatatkan sebanyak 493,523 tong minyak pada 2024 termasuk tempoh sebelum pelaksanaan PSC LLA.

 

Bagi tempoh 1 hingga 23 April 2026 selepas operasi disambung semula, pengeluaran direkodkan sebanyak 31,199 tong minyak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Anthony @ Firdauz Bujang berkata penyambungan semula operasi ini membuktikan keupayaan syarikat mengurus aset matang secara selamat, efisien dan berdisiplin.

 

Selain medan Banang, PEDSB turut mengendalikan blok petroleum darat SK433 di Miri, Sarawak bersama Uzma Bhd di bawah kontrak dengan Petroleum Sarawak Bhd.

 

Aktiviti penerokaan di blok tersebut bermula dengan kerja penggerudian pertama pada Oktober 2023 dan kini memasuki fasa pembangunan awal.

 

Pada Jun 2025, kontrak ‘build, own and operate (BOO) bagi projek SK433 telah dianugerahkan, menandakan permulaan pelaksanaan projek secara lebih menyeluruh termasuk perancangan terperinci.

 

 

 

 

 

 

Ia diikuti dengan penganugerahan kerja fabrikasi komponen utama pada November serta permulaan kerja tapak dan infrastruktur selepas mesyuarat pada Ogos 2025.

 

Syarikat juga memiliki armada marin terdiri daripada empat bot kerja penginapan, dua tongkang penginapan serta satu kapal tunda sokongan sauh, yang digunakan bagi menyokong operasi minyak dan gas serta menjadi sebahagian daripada strategi pengukuhan segmen perkhidmatan.  - DagangNews.com

Terkini featured standard