PETRONAS Chemicals kembali untung RM179 juta pada suku ketiga 2026 meskipun harga urea jatuh 39%

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 2:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS Chemicals kembali untung RM179 juta pada suku ketiga 2026 meskipun harga urea jatuh 39% Image from: PETRONAS Chemicals kembali untung RM179 juta pada suku ketiga 2026 meskipun harga urea jatuh 39% sarah24/11/2026 - 14:06 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM179 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, berbanding kerugian bersih RM289 juta dalam tempoh sama tahun lalu, meskipun berdepan tekanan akibat kejatuhan harga urea susulan peningkatan bekalan eksport dari China.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan itu merosot 56.8% berbanding RM414 juta pada suku sebelumnya, mencerminkan tekanan terhadap margin keuntungan berikutan penurunan harga jualan produk kimia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PCG berkata, pendapatannya meningkat 12.3% tahun ke tahun kepada RM7.62 bilion daripada RM6.79 bilion, namun menyusut 3.6% berbanding RM7.90 bilion pada suku sebelumnya.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 90% tahun ke tahun kepada RM942 juta, disokong kos operasi loji yang lebih rendah, sumbangan lebih tinggi daripada operasi bersama serta margin produk baja dan metanol yang lebih baik.

 

Peningkatan eksport China tekan harga urea

Harga urea merosot kira-kira 39% berbanding suku sebelumnya, menyebabkan purata harga produk segmen baja dan metanol jatuh 33%, manakala pendapatan segmen berkenaan menyusut 17% kepada RM3.02 bilion.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, peningkatan bekalan eksport urea dari China memberi tekanan kepada harga produk berkenaan sepanjang suku ketiga 2026.

 

Meskipun berdepan kerja penyelenggaraan berjadual di loji metanol di Labuan dan gangguan operasi loji olefin di Kertih, jumlah jualan kumpulan meningkat hasil sumbangan lebih tinggi daripada operasi di Pengerang serta strategi pemerolehan bekalan.

 

Penggunaan kapasiti loji pulih kepada 90%

Kadar penggunaan kapasiti loji PCG meningkat kepada 90% pada Oktober 2026 berbanding 73% sepanjang suku ketiga, menunjukkan pemulihan prestasi operasi kumpulan.

 

“Bagi suku keempat 2026, tumpuan kami adalah memaksimumkan pengeluaran secara selamat dan berdaya harap,” kata Mazuin.

 

Bagaimanapun, PCG menjangkakan harga produk olefin dan derivatif terus berdepan tekanan akibat lebihan bekalan serantau, manakala ketegangan geopolitik berpotensi menyebabkan ketidaktentuan kos bahan mentah dan pengangkutan.

 

Keuntungan bersih sembilan bulan cecah RM994 juta

Bagi sembilan bulan pertama 2026, PCG mencatatkan keuntungan bersih RM994 juta berbanding kerugian bersih RM1.39 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan meningkat 8% kepada RM22.54 bilion.

 

Kedudukan kewangan kumpulan turut bertambah baik apabila aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi meningkat 47.7% kepada RM3.15 bilion, manakala baki tunai dan bank mencecah RM10.27 bilion setakat 30 September 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved