Keuntungan segmen perkhidmatan medan minyak Deleum melonjak 131% meskipun prestasi kumpulan merosot

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 5:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keuntungan segmen perkhidmatan medan minyak Deleum melonjak 131% meskipun prestasi kumpulan merosot Image from: Keuntungan segmen perkhidmatan medan minyak Deleum melonjak 131% meskipun prestasi kumpulan merosot sarah24/11/2026 - 17:13 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Segmen perkhidmatan bersepadu medan minyak Deleum Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan sebanyak 130.6% kepada RM4.73 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM2.05 juta dalam tempoh sama tahun lalu, meskipun prestasi keseluruhan kumpulan merosot.

 

Pendapatan segmen berkenaan meningkat sedikit kepada RM64.78 juta daripada RM64.54 juta, dengan peningkatan keuntungan yang jauh lebih tinggi berbanding pertumbuhan pendapatan.

 

Berdasarkan laporan kewangan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan daripada perkhidmatan bahan kimia khusus dan rangsangan telaga minyak meningkat 28.4% kepada RM5.44 juta berbanding RM4.23 juta sebelumnya.

 

Pendapatan daripada perkhidmatan kawalan pepejal dalam operasi penggerudian turut meningkat 48.5% kepada RM5.97 juta berbanding RM4.02 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Segmen kuasa dan jentera jejas keuntungan kumpulan

Bagaimanapun, keuntungan segmen kuasa dan jentera merosot 65% kepada RM13.18 juta daripada RM37.69 juta, manakala pendapatan segmen berkenaan susut 23.7% kepada RM162.68 juta.

 

Kemerosotan itu menyaksikan keuntungan bersih Deleum bagi suku ketiga menyusut 42.3% kepada RM12.75 juta daripada RM22.09 juta, manakala pendapatan kumpulan merosot 18.1% kepada RM227.68 juta.

 

Bagi sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan susut 40.8% kepada RM32.04 juta, manakala pendapatan merosot 13% kepada RM604.11 juta.

 

Pelaburan PETRONAS sokong prospek perniagaan

Deleum menjangkakan usaha mengekalkan pengeluaran minyak dan gas (O&G) domestik, meningkatkan pengeluaran daripada medan minyak matang serta membangunkan sumber baharu akan terus menyokong sektor huluan negara.

 

Keutamaan pelaburan PETRONAS dan rakan kontrak perkongsian pengeluarannya dijangka terus memacu permintaan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan, baik pulih peralatan serta peningkatan pengeluaran O&G.

 

Deleum berkata, buku tempahan sedia ada memberikan gambaran mengenai aktiviti perniagaan masa hadapan, sementara kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kawalan kos, kecekapan operasi dan penyampaian perkhidmatan mengikut jadual.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved