Pertumbuhan Farm Price dipacu pengembangan pusat pengedaran berpusat di Senai - PublicInvest

01/10/2025 - 12:12
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 1 Okt - Pengembangan pusat pengedaran berpusat (CDC) Farm Price Berhad di Senai, Johor berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan utama kumpulan dalam beberapa tahun akan datang, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, pengembangan itu merangkumi pembinaan bilik sejuk beku dan kawasan pemprosesan yang dijangka meningkatkan keupayaan pengedaran serta kecekapan operasi kumpulan.
Firma penyelidikan itu berkata, kira-kira separuh daripada fasiliti baharu itu akan diperuntukkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari Singapura — pasaran yang lazimnya menawarkan margin keuntungan lebih tinggi berbanding Malaysia.
"Kapasiti tambahan daripada CDC Senai bukan sahaja akan memperkukuh peranan Farm Price dalam memastikan sekuriti makanan negara, malah memberi peluang untuk syarikat menguasai bahagian lebih besar dalam pasaran pengedaran borong rentas sempadan.
"Pengembangan itu adalah tepat pada masanya, memandangkan pertumbuhan asas pelanggan Farm Price di Singapura serta permintaan pengguna terhadap produk berasaskan kemudahan semakin meningkat,” katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, selaras dengan perubahan trend pengguna, Farm Price juga berhasrat memperluas perkhidmatan nilai tambah seperti sayur-sayuran potong segar dan prapembungkusan yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan isi rumah bandar.
Katanya, pendekatan itu dijangka meningkatkan margin keuntungan melalui campuran produk yang lebih baik.
Firma penyelidikan itu meramalkan pertumbuhan CAGR untung bersih teras sebanyak 24% bagi FY25 hingga FY27, disokong dasar kerajaan melalui Dasar Agro Makanan Negara 2.0 serta usaha Kementerian Kesihatan dalam mempromosikan tabiat pemakanan sihat.
Dengan anggaran pegangan pasaran Farm Price di Malaysia dan Singapura masih kurang daripada 1%, syarikat dilihat mempunyai ruang luas untuk berkembang dan pengembangan CDC Senai itu merupakan langkah strategik untuk merebut potensi tersebut.
Firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas Farm Price dengan saranan "outperform" dan harga sasaran (TP) 50 sen sesaham, berdasarkan gandaan PE 15x terhadap unjuran pendapatan FY26.- DagangNews.com
standard
