
KUALA LUMPUR 18 Dis – PETRONAS menerusi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) terus memperluas agenda pembangunan modal insan di peringkat akar umbi dengan pelancaran Program PIC Literasi dan Numerasi (PLaN) pada 9 Disember lalu, sebagai inisiatif jangka panjang memperkasa pendidikan asas komuniti setempat.
PETRONAS dalam kenyataan hari ini berkata, program PLaN yang digerakkan melalui kerjasama PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) dan Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB) itu bertujuan memperkukuh penguasaan literasi dan numerasi dalam kalangan murid sekolah rendah di sekitar Pengerang melalui pendekatan yang sistematik dan berstruktur.
PETRONAS berkata, program berkenaan turut menerima sokongan Majlis Perbandaran Pengerang menerusi Yayasan Makmur Pengerang, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, inklusif dan mampan.
Menurut PETRONAS, program yang bermula sejak 2024 dan dijadualkan berakhir pada 2026 itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,300 murid sekolah rendah daripada 10 buah sekolah di sekitar Pengerang, dengan sokongan 110 sukarelawan PIC, hasil kerjasama erat bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Yayasan Makmur Pengerang dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Pelaksanaan PLaN telah menunjukkan peningkatan pencapaian murid dalam mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik, selari dengan penguasaan asas 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul,” katanya.
Aznan berkata, inisiatif seperti PLaN memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pendidikan negara.
“Inisiatif ini membantu memperluas akses saksama kepada pendidikan berkualiti serta mengukuhkan asas pembelajaran murid, selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Kamal Bahrin berkata PETRONAS menerusi PRPC terus menerajui inisiatif yang sejajar dengan Agenda Kelestarian PETRONAS, khususnya dalam pembangunan pendidikan dan pembinaan modal insan di Pengerang.
“Program ini bukan sahaja menyokong pendidikan asas, malah membina modal insan muda berpotensi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara. Ia merupakan pelaburan jangka panjang kami untuk memastikan kesinambungan sumber manusia berkemahiran bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan keperluan industri masa hadapan,” katanya.
Menurut Aqeel, kesinambungan pelaksanaan program berkenaan penting bagi memastikan manfaatnya terus dirasai komuniti setempat.
“Kami percaya pendidikan adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif dan berdaya saing. Melalui program ini, kami memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat demi membina masa depan yang lebih cerah bersama,” katanya.
Di bawah pelan induk #UntukPengerang oleh PIC, PETRONAS melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti, termasuk program Memperkasakan Ilmu PETRONAS seperti STEM dan VISTA i-Plus bagi peluang pekerjaan setempat, sokongan keusahawanan melalui program Memacu Kehidupan PETRONAS, serta inisiatif pemuliharaan alam sekitar di bawah Menyemai Masa Hadapan PETRONAS di Pulau Tanjung Surat dan Sungai Santi, Pengerang.
Majlis pelancaran PLaN telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin, serta disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Zulkurnain Abdul Rahman, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif PRPC, Kamal Bahrin Ahmad, dan Ketua Pegawai Eksekutif PT2SB, Aqeel Hussain. - DagangNews.com





