Petronas meterai 11 MoU kukuhkan sektor OGSE di Malaysia

23/04/2025 - 14:54
KUALA LUMPUR 23 April - Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) menandatangani 11 memorandum persefahaman (MoU) bertujuan mengukuhkan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Malaysia.
MoU itu menyokong dua inisiatif utama, iaitu transformasi limbungan dan peningkatan produktiviti, serta inisiatif juara kemahiran kerja mahir.
Perjanjian-perjanjian itu memanfaatkan kerjasama industri bagi memodenkan limbungan fabrikasi dan membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kukuh bagi memenuhi keperluan sektor tenaga yang semakin berkembang, katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi limbungan dan peningkatan produktiviti, Petronas memeterai lima MoU dengan kontraktor limbungan fabrikasi tempatan termasuk Brooke Holding Sdn Bhd, Ocean Might Sdn Bhd, Muhibbah Engineering (M) Bhd, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd, dan Sapura Fabrication Sdn Bhd.
Di bawah inisiatif kerja mahir, enam MoU telah dimeterai dengan pemain utama industri, termasuk kontraktor penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) Pan-Malaysia, kontraktor kerja sambungan dan pentauliahan (Hook-up and Commissioning), serta Persatuan Pemilik Kapal Sokongan Luar Pesisir Malaysia (Malaysia Offshore Support Vessel Owners’ Association).
Naib presiden kanan Petronas MPM, Datuk Ir Bacho Pilong, berkata MoU itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk membina sektor minyak dan gas yang kukuh dan mampan di Malaysia.
"Pelaksanaan berstruktur yang dijalankan dengan kerjasama rapat bersama pemain OGSE tempatan, akan memberi tumpuan kepada hasil yang boleh diukur bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan pertumbuhan yang lebih pantas, selari dengan aspirasi negara," katanya. - DagangNews.com
featured standard

