Untung bersih United Plantations pada 1QFY25 naik 22.9% kepada RM163.3 juta

23/04/2025 - 17:33
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 23 April - United Plantations Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 22.9% kepada RM163.3 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding RM132.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong lonjakan pendapatan dalam segmen perladangan serta penapisan.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan itu juga meningkat kepada RM517.6 juta berbanding RM476.7 juta pada 1QFY24.
Katanya, pendapatan kumpulan dalam segmen perladangan dan penapisan pada suku semasa juga meningkat disebabkan perkembangan pengeluaran serta harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) lebih tinggi.
"Untung kasar kumpulan berada pada RM222.4 juta adan ia lebih tinggi sebanyak 24.6% berbanding RM178.4 juta pada suku yang sama terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen perladangan.
"Pendapatan faedah bersih kumpulan juga bagaimanapun susut 18.5% kepada RM5.6 juta daripada RM6.9 juta hasil daripada deposit yang lebih rendah pada suku semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, konflik geopolitik yang berterusan, tarif Amerika Syarikat (AS) yang baru diperkenalkan dan ketidaktentuan yang semakin meningkat selain ketegangan perdagangan AS-China menimbulkan risiko kepada kestabilan ekonomi global serta mungkin mempengaruhi keseluruhan dinamik permintaan bekalan minyak sayuran.
Di samping itu, jangkaan pemulihan pengeluaran di Indonesia dan Malaysia serta kebimbangan terhadap pelaksanaan dasar B40 Indonesia akibat kekangan ekonomi dan logistik mungkin membawa kepada kenaikan stok dan membebankan harga.
"Pihak pengurusan kekal fokus terhadap operasinya dan sedang melakukan pelbagai cara bagi meningkatkan hasil dan produktiviti melalui inisiatif mekanisasi yang berterusan serta penanaman semula pokok kelapa sawit yang lebih tua dan kurang produktif dengan bahan penanaman hasil tinggi dalaman kami yang terkini.
"Usaha ini adalah penting dalam mengekalkan daya saing di tengah-tengah peningkatan kos buruh, tenaga dan input," katanya.- DagangNews.com
standard

