Prasarana sasar latih 1,000 tenaga mahir bidang rel dan bas dalam tempoh 5 tahun

LocalBusiness & Finance
23 Apr 2025 • 3:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prasarana sasar latih 1,000 tenaga mahir bidang rel dan bas dalam tempoh 5 tahun

image is not available

23/04/2025 - 15:55

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 April – Prasarana Malaysia Berhad terus memainkan peranan penting sebagai pembangunan tenaga kerja masa hadapan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang rel dan bas.

Kesemua program itu dijadual bermula pada suku keempat tahun 2025 dengan sasaran melatih seramai 1,000 individu yang terdiri daripada lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma, dan graduan universiti dalam tempoh lima tahun.

Usaha itu turut mengukuhkan kedudukan Prasarana sebagai institusi latihan yang diiktiraf di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sejak 2011.



Prasarana memperkenalkan program komprehensif yang merangkumi pembelajaran berasaskan teori, latihan di tempat kerja, pensijilan, dan pendedahan kepada industri.

Program itu merangkumi latihan praktikal dan teori dalam bidang seperti pengoperasian bas elektrik, penyelenggaraan tren dan keselamatan siber. Peserta yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf secara nasional.

Selari dengan keperluan industri serta menyokong Dasar TVET Negara 2030 yang menyasarkan melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi, Prasarana hari ini memeterai kerjasama strategik bersama Hitachi Rail bagi memperkukuh dan memperluaskan pelaksanaan program TVET di Malaysia.

Satu sesi khas melibatkan 28 peserta program protege Hitachi. Peserta diberi peluang untuk melakukan sesi perbincangan bersama kepimpinan kanan, lawatan pembelajaran ke pusat kawalan operasi rel, dan pengangkutan awam.



Program protege ialah satu inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), melibatkan penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang akademik termasuk kejuruteraan awam dan sains komputer selama tempoh lapan bulan.

Dalam usaha menjayakan agenda nasional, Prasarana menjalin kerjasama jangka panjang bersama Hitachi Rail untuk pembangunan modal insan dan tenaga mahir di Malaysia.

Hitachi Rail telah memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi rel di Malaysia sejak 1998, termasuk menaiktaraf sistem isyarat untuk laluan Monorel, Ampang dan Kelana Jaya. Pencapaian terkini termasuk pembinaan ICC yang kini mengawal tiga laluan rel utama di Lembah Klang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, kerjasama itu bukan sekadar penambahbaikan ke atas operasi rel, tetapi menyeluruh dalam membina bakat tempatan bertaraf dunia.

"Kami sedang membentuk generasi profesional rel tempatan yang memiliki kemahiran dan pengetahuan bertaraf dunia. Ini adalah langkah penting untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kepakaran dan inovasi rel serantau," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hitachi Rail untuk perniagaan Urban Rail Signalling, Ziad Rizk berkata, selama lebih 30 tahun, pelaksanaan teknologi SelTrac memainkan peranan penting dalam menambah baik operasi rel.

"Kami amat teruja untuk terus memajukan industri rel di Malaysia," katanya.

Inisiatif bersama itu bukan sahaja melengkapkan keperluan tenaga kerja mahir negara, malah memberi impak langsung kepada kemampanan ekonomi, daya saing serantau, dan kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi cabaran masa hadapan industri rel global.- DagangNews.com

standard