PETRONAS-MSF Merdeka Race 2025 Powered by PETRONAS Primax

27 Aug 2025 • 10:43 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Perlumbaan Ketahanan 111 Pusingan Himpunkan Lebih 400 Jentera di Sepang

Perlumbaan ketahanan paling dinantikan negara, PETRONAS-MSF Merdeka Race 2025 powered by PETRONAS Primax, kembali menghangatkan sambutan bulan kemerdekaan dengan cabaran baharu melibatkan 111 pusingan perlumbaan serta penyertaan lebih 400 kereta dan motosikal di Litar Antarabangsa PETRONAS-Sepang (SIC).

Memasuki edisi ke-8, acara ini terus berkembang sebagai salah satu acara utama dalam kalendar permotoran tempatan. Penganjuran hujung minggu perlumbaan ini merangkumi dua komponen utama iaitu MSF SuperTurismo bagi kategori kereta dan MotoMSF Superbikes bagi kategori motosikal.

MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance Race

Perlumbaan utama kali ini menampilkan cabaran lebih panjang selepas peningkatan daripada 88 pusingan (2023) kepada 99 pusingan (2024), kini beranjak ke 111 pusingan dengan jangkaan tempoh perlumbaan selama lima jam.

Bagi mengiktiraf pencapaian pelumba, hadiah wang tunai disediakan:

  • RM5,000 kepada juara keseluruhan
  • RM3,000 kepada naib juara keseluruhan
  • RM2,000 kepada tempat ketiga keseluruhan

Selain itu, hadiah tambahan turut ditawarkan mengikut kategori dengan ganjaran RM3,500 kepada juara, RM1,500 untuk naib juara, dan RM1,000 kepada tempat ketiga. Perlumbaan ini akan melibatkan enam kelas berbeza.

MotoMSF Superbikes 33 Pusingan

Bagi kategori motosikal, MotoMSF Superbikes turut memperkenalkan format ketahanan dengan perlumbaan 33 pusingan, berbeza daripada 12 pusingan pada edisi sebelumnya. Format ini melibatkan dua pelumba dan dua jentera setiap pasukan dengan hentian pit serta pertukaran penunggang, menjadikan perlumbaan berpasukan ini lebih mencabar.

Perlumbaan dijangka berlangsung selama 90 minit dengan tawaran hadiah seperti berikut:

  • RM8,000 kepada juara
  • RM5,000 kepada naib juara
  • RM3,000 kepada tempat ketiga
  • RM2,000 kepada tempat keempat
  • RM1,500 kepada tempat kelima

Sokongan Rakan Strategik

Principal MSF, Adian Yein Khalid, menyatakan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada rakan penaja dan rakan kongsi.

“Kami berbesar hati mengumumkan bahawa PETRONAS PRIMAX terus terlibat sebagai Rakan Media MSF Merdeka Race. Sokongan ini diperkukuh dengan penglibatan EXN Lube, Rennplatz, Vision Motorsports, Momentum Autosport, serta Energizer. Tayarg rasmi bagi MSF SuperTurismo ialah GITI Tires, manakala MotoMSF Superbikes menggunakan Pirelli sebagai tayar rasmi,” katanya.

Dengan penyertaan besar-besaran serta format perlumbaan baharu, PETRONAS-MSF Merdeka Race 2025 dijangka menjadi antara perlumbaan ketahanan paling mencabar dan berprestij di rantau ini.

image is not available
Jadual PETRONAS-MSF Merdeka Race 2025 Powered by PETRONAS Primax