hamden24/11/2026 - 16:25 PFLNG TIGA, kemudahan LNG terapung persisir pantai pertama di dunia. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - PETRONAS memperkukuh keupayaan bekalan gas asli cecair (LNG) global menerusi pembangunan PFLNG TIGA, kemudahan LNG terapung persisir pantai pertama di dunia yang dijangka memulakan operasi di Sipitang, Sabah pada suku ketiga 2027.
Kemudahan berkenaan yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak dua juta tan setahun (MTPA) secara rasmi dinamakan dalam satu majlis di Limbungan Samsung Heavy Industries, Pulau Geoje, Korea Selatan pada 24 November 2026.
PFLNG TIGA kini dalam pembinaan dan akan ditempatkan di Sipitang, sekali gus menjadi tambahan strategik kepada portfolio LNG bersepadu PETRONAS dalam usaha memperluas keupayaan meneroka serta mengkomersialkan sumber gas.
Dengan pembangunan kemudahan itu, PETRONAS kini mempunyai keupayaan membangunkan kemudahan LNG terapung dalam tiga persekitaran operasi berbeza, iaitu perairan cetek, laut dalam dan persisir pantai.
Kemudahan sepanjang 281 meter, lebar 64 meter dan kedalaman 32 meter itu dijangka memperkukuh rantaian nilai LNG Malaysia, selain meningkatkan keupayaan negara mengkomersialkan sumber gas dan memenuhi permintaan tenaga serantau.

Tingkatkan fleksibiliti, daya tahan portfolio bekalan PETRONAS
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, penamaan PFLNG TIGA merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal LNG global yang boleh dipercayai.
Menurutnya, kemudahan itu akan meningkatkan fleksibiliti dan daya tahan portfolio bekalan PETRONAS, sekali gus membolehkan syarikat bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap perubahan keperluan pelanggan dan pasaran.
"Melalui peluasan keupayaan mengkomersialkan sumber gas menerusi penyelesaian LNG terapung yang inovatif, PFLNG TIGA meningkatkan fleksibiliti dan daya tahan portfolio bekalan kami.
"Ketika permintaan terhadap tenaga yang terjamin dan boleh dipercayai terus meningkat, PFLNG TIGA memperkukuh komitmen kami untuk membekalkan LNG kepada isi rumah, perniagaan dan industri di seluruh dunia," katanya.
PETRONAS berkata, LNG terus memainkan peranan penting dalam menyokong keselamatan tenaga dan membolehkan peralihan tenaga yang pragmatik, manakala PFLNG TIGA akan meningkatkan keupayaan syarikat menyediakan bekalan LNG yang fleksibel, boleh dipercayai dan berdaya saing.
Dengan pengalaman lebih empat dekad dalam industri LNG, PETRONAS membekalkan produk kepada pelanggan di pasaran utama menerusi salah satu portfolio LNG paling bersepadu di dunia.
Penambahan PFLNG TIGA dijangka terus memperkukuh portfolio berkenaan serta menyokong komitmen PETRONAS terhadap bekalan LNG yang terjamin, fleksibel dan boleh dipercayai, selain memajukan inovasi dalam industri LNG global. - DagangNews.com


