Petronas raih untung bersih RM27.2 bilion pada separuh pertama

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 6:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Petronas raih untung bersih RM27.2 bilion pada separuh pertama

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM27.2 bilion bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026), meningkat RM1 bilion atau empat peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan keuntungan itu sejajar dengan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM56.8 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, keutamaan Kumpulan bagi separuh pertama 2026 adalah menjamin keselamatan tenaga kepada semua pihak yang dilayaninya.

“Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, kami membuat pelaburan strategik bagi memperkukuh portfolio untuk daya tahan jangka panjang.

“Dalam menangani kesan krisis tenaga global, Petronas memanfaatkan kekuatan portfolio bersepadu serta mempergiat usaha merentasi rantaian nilai bagi memastikan bekalan tenaga berterusan untuk Malaysia sebagai syarikat minyak nasional.

“Walaupun berdepan cabaran semasa, Petronas terus mengekalkan disiplin kewangan dan operasi, selain memperkukuh kedudukan dalam segmen huluan, memperluas nod bekalan gas asli cecair (LNG) serta meningkatkan penawaran tenaga baharu,” katanya dalam kenyataan. 

Bagaimanapun, pertumbuhan PAT sebahagiannya diimbangi pengiktirafan kerugian terkumpul bahagian Kumpulan daripada syarikat usaha sama Pengerang Refining Company Sdn. Bhd. (PRefChem Refining) dan Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PRefChem), susulan suntikan modal tambahan selaras dengan piawaian perakaunan yang berkuat kuasa.

Sebelum ini, kerugian berkenaan hanya direkodkan pada peringkat syarikat usaha sama.

Suntikan modal itu merupakan sebahagian daripada transaksi Kumpulan untuk memperoleh pemilikan penuh PRefChem pada tahun kewangan ini, dengan pengambilalihan dijangka diselesaikan pada separuh kedua tahun ini.

Sementara itu, Petronas merekodkan hasil sebanyak RM152.4 bilion bagi tempoh itu, meningkat RM19.8 bilion atau 15 peratus berbanding RM132.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan hasil disokong terutamanya oleh pengeluaran domestik yang lebih tinggi serta peningkatan jumlah jualan LNG dan gas diproses, selain harga purata terealisasi yang lebih baik bagi produk utama.

Namun, peningkatan itu sebahagiannya diimbangi kesan negatif pergerakan pertukaran mata wang asing.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) pula berjumlah RM47.5 bilion, susut RM0.6 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, terutama disebabkan aliran keluar modal kerja.

Perbelanjaan modal (CAPEX) berjumlah RM41.4 bilion, didorong terutamanya suntikan modal tambahan oleh segmen hiliran dalam syarikat usaha sama PRefChem, selain pelaburan dalam aktiviti penerokaan dan pembangunan segmen huluan.

Jumlah aset kumpulan pula meningkat kepada RM794.3 bilion, disebabkan terutamanya peningkatan pelaburan dalam syarikat usaha sama, selain peningkatan penghutang dan inventori.

Peningkatan itu sebahagiannya diimbangi penurunan tunai dan kesetaraan tunai serta aset yang dipegang untuk dijual.

Dalam pada itu, ekuiti pemegang saham meningkat RM0.8 bilion kepada RM449.1 bilion, terutamanya disumbangkan keuntungan yang direkodkan dalam tempoh tersebut, namun sebahagiannya diimbangi dividen RM20 bilion yang diisytiharkan kepada pemegang saham.-UTUSAN

The post Petronas raih untung bersih RM27.2 bilion pada separuh pertama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved