Sedania kembali catat untung lebih RM4 juta

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 6:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sedania kembali catat untung lebih RM4 juta

PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad (Sedania) kembali mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.29 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding kerugian RM1.69 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi positif itu didorong oleh pertumbuhan pendapatan merentas segmen operasi utama, terutamanya hasil sumbangan kukuh daripada segmen Teknologi Pengguna Lestari.

Sejajar dengan pemulihan prestasi kewangan berkenaan, Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) Kumpulan melonjak 85 peratus kepada RM9.38 juta berbanding RM5.07 juta bagi tempoh yang sama.

Pengasas merangkap Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, prestasi suku ini mencerminkan perubahan trajektori pertumbuhan Kumpulan berikutan pecutan prestasi yang ketara, khususnya pada suku keempat.

“Teknologi Pengguna kini menjadi penyumbang yang semakin penting kepada pendapatan kami. Memasuki tahun kewangan 2027, keutamaan kami adalah untuk memanfaatkan momentum ini dan memperluaskan perniagaan secara berdisiplin,” katanya dalam kenyataan.

Jumlah hasil Sedania bagi tahun kewangan 2026 meningkat tujuh peratus kepada RM87.76 juta berbanding RM81.91 juta, manakala keuntungan operasi kumpulan melonjak ketara kepada RM7.24 juta daripada RM0.50 juta.

Hasil segmen Teknologi Pengguna meningkat 67 peratus kepada RM19.94 juta dipacu oleh perniagaan teknologi kewangan (Fintech) seperti platform As Sidq dan Program GoHalal, dengan keuntungan operasi segmen melonjak lebih dua kali ganda kepada RM5.62 juta.

Sementara itu, segmen Jenama Lestari kekal sebagai penyumbang hasil terbesar Kumpulan dengan mencatatkan RM67.11 juta.

Mengulas mengenai prospek, Pengerusi Sedania, Tun Md Raus Sharif berkata, Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada segmen yang menunjukkan pertumbuhan struktur sambil memperkukuh asas jenama penggunanya bagi mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan.-UTUSAN

The post Sedania kembali catat untung lebih RM4 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved