Mah Sing catat jualan hartanah RM1.32 bilion bagi separuh pertama

28 Aug 2026 • 6:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mah Sing catat jualan hartanah RM1.32 bilion bagi separuh pertama

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM1.32 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2026, meningkat 15 peratus berbanding RM1.15 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM656.3 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM99.6 juta, masing-masing meningkat 16 peratus dan 4.2 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow berkata, kedudukan kewangan yang sihat dan prestasi operasi kukuh membolehkan kumpulan terus memberi tumpuan kepada penambahan simpanan tanah di lokasi strategik bagi menyokong pertumbuhan mampan.

“M Araya selari dengan strategi M Series kami yang menawarkan kediaman direka dengan baik dan mampu milik di lokasi yang sudah matang. 

“Kami akan terus menilai peluang yang sesuai sambil mengekalkan peruntukan modal secara berdisiplin,” katanya dalam kenyataan. 

Prestasi jualan kukuh itu meletakkan Mah Sing pada landasan untuk mencapai sasaran jualan hartanah setahun penuh sebanyak RM2.76 bilion

Ia disokong permintaan berterusan terhadap kediaman yang terletak di lokasi strategik dan mampu milik, jualan daripada projek sedia ada serta pelancaran baharu yang dirancang sepanjang baki 2026.

“Kumpulan terus membina kejayaan pembangunan M Series dengan kadar pengambilan yang menggalakkan bagi projek yang baru dilancarkan, termasuk M Aria di Sentul, Kuala Lumpur, M Aurora di Old Klang Road, Kuala Lumpur dan M Amaya di Pulau Pinang. 

Menurutnya, momentum jualan dijangka kekal kukuh, disokong pelancaran akan datang seperti M Hana di Puchong, Selangor, M Mira di Setapak, Kuala Lumpur, M Cora di Pulau Pinang, M Tiara 2 di Johor Bahru, Johor.

“Ia turut merangkumi fasa akan datang M Legasi di Semenyih, Selangor, M Sinar Tower B di Southville City, Bangi, Selangor, M Grand Minori dan Meridin East di Johor Bahru, Johor. 

“Kumpulan turut dijangka melancarkan MS Industrial Park @ Kulai di Johor, sekali gus meneruskan pengembangannya dalam segmen hartanah perindustrian.

“Antara projek utama yang dijadualkan siap sepanjang baki 2026 ialah M Nova di Kepong, Kuala Lumpur, rumah bertanah Fasa 3A dan 3B M Senyum di Salak Tinggi, Selangor serta Fasa 4A2 Meridin East di Johor Bahru  yang dijangka menjana dana daripada penyerahan milikan kosong melebihi RM250 juta,” katanya. 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM1.22 bilion dan PBT sebanyak RM192.7 juta, masing-masing meningkat 0.3 peratus dan tiga peratus tahun ke tahun.

Prestasi kukuh itu disokong sumbangan berterusan daripada jualan hartanah.

Setakat 30 Jun 2026, Mah Sing mempunyai tunai dan baki bank sebanyak RM1.01 bilion, manakala nisbah hutang bersih kepada ekuiti berada pada 0.39 kali. -UTUSAN

The post Mah Sing catat jualan hartanah RM1.32 bilion bagi separuh pertama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved